Petikan dari MERDEKA REVIEW
Lantaran daripada ketidakpuasan terhadap siri laporan Sin Chew Daily yang "berniat jahat", Pengarah Strategi PKR Tian Chua mencadangkan melalui twitter agar rakan partinya memboikot ("no favour") akhbar yang dikuasai Tiong Hiew King, tycoon balak dan bekas Naib Presiden SUPP. Ketidakpuasan Tian Chua nampaknya bukan tertimbun hanya dalam sehari dua. Menurut kenyataan Tian Chua baru-baru ini, laporan Sin Chew Daily pada 1 Julai 2010 berjudul "Lawatan ke Australia mencungkil spekulasi: Khalid bakal letak jawatan MB selepas pulang ke Malaysia?" adalah laporan yang berniat jahat, tetapi bukan punca beliau mencadangkan boikot ("no favour") terhadap akhbar itu. Tian Chua mengemukakan cadangan tersebut berikutan daripada "siri tindakan" Sin Chew Daily. Wartawan (yang membuat liputan berita politik) yang memiliki daya pemahaman dan kemampuan membuat pertimbangan (biarpun sedikit), seharusnya sedar bahawa kenyataan Anwar berbunyi "Pewaris saya? Pewaris saya Nurul Izzah", ketika menjawab soalan wartawan, adalah satu jenaka, dan bukannya jawapan sebenar. (Nota: dalam bahasa Melayu, pewaris juga boleh bermaksud anak, selain pengganti. Lebih-lebih lagi, semua orang termasuk diri Anwar bergelak selepas Anwar berkata demikian.) Namun demikian, Sin Chew Dailymenjadikan jenaka ini seolah-olah maksud sebenar Anwar, sehingga menonjolkannya sebagai tajuk berita pada muka surat ke-7 dalam akhbarnya pada keesokan. Lebih dahsyat, Chief Leader Writer Sinchew Daily, Lo Jeng Wung dalam kolumnya yang disiarkan pada 3 Julai (gambar kiri), terus mengkritik "Penasihat PKR Anwar Ibrahim menafikan bahawa beliau akan mewariskan kuasanya kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Wilayah Persekutuan, Zaid Ibrahim, malah menyatakan bahawa anak perempuan sulungnya, Nurul Izzah adalah pewarisnya. Ini menunjukkan pergelutan kuasa parti ini telah sampai ke tahap di mana pemimpinnya perlu menyatakan apa yang terpendam dalam hati secara terus." Bukan sahaja Sin Chew tidak memperbetulkan kesilapan laporannya pada 30 Jun, malah menggunakan kesilapan ini untuk mengkritik PKR dan Anwar Ibrahim dalam komentarnya - semestinya mengelirukan pembaca yang tidak tahu apa yang berlaku. Hanya Sin Chew yang boleh menjelaskan mengapa hal ini boleh berlaku. Boikot tidak bersamaan dengan penindasan Apakah ianya boleh dituduh sebagai "menindas media dan mencabul kebebasan akhbar dengan kuasa daulah", untuk sesebuah parti politik yang menguasai kerajaan tempatan, tetapi belum menguasai kerajaan persekutuan - apabila parti tersebut mengambil langkah untuk boikot media? Biar kita rujuk kes di Taiwan pada tahun 1996. Datuk Bandar Taipei ketika itu, Chen Shui Bian meminta jabatan kerajaan tempatan dan sekolah untuk tidak melangganiZhong Yang Daily (akhbar yang berlatar-balakangkan Kuomintang, iaitu parti musuh Chen Shui Bian) kerana menganggap akhbar harian itu tidak "seimbang" dalam laporannya. Maka Kuomintang dan ahli akademik mengkritik Chen Shui Bian atas nama "menindas kebebasan media". Tetapi penganalisa politik yang berpengaruh di Taiwan, Nan Fang Shuo mempertikaikan apa kaitannya tindakan ini (tidak melanggani akhbar tersebut) dengan penindasan terhadap kebebasan media. Persamaan yang dikongsi dalam kedua-dua kes ini adalah, parti politik ini hanya menguasai kerajaan tempatan, dan bukannya kuasa di pusat. Malah, kawalan hal ehwal media terletak di bawah bidang kuasa pusat. Apa yang berbeza, Taiwan pada tahun 1996 telah membebaskan diri dari zaman sekatan media untuk kira-kira 10 tahun. Sukar untuk sesebuah parti politik menindas syarikat media biarpun menguasai kerajaan pusat. ![]() Kita menuduh parti politik menindas media apabila ia menggunakan kuasa jentera negara untuk memaksa media agar tunduk kepadanya. Misalnya, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 yang memperuntukkan kuasa yang hampir tidak terbatas kepada Menteri Dalam Negeri untuk menghukum media. Jadi, apabila KDN menjemput Ketua Pengarang media untuk "minum kopi", "memberi nasihat" dengan senyuman yang manis dan mesra supaya tidak melaporkan isu-isu tertentu -- sudah memadai untuk menutup mulut media tersebut. Oleh itu, parti pemerintah langsung tidak perlu memboikot akhbar, kerana media telah dijinak-jinakkan. Seandainya sesiapa cuba menonjolkan betapa buruknya Tian Chua dengan hujah bahawa "parti pemerintah tidak pernah memboikot akhbar", ia semestinya tukang solek untuk parti pemerintah, kalau bukan terlalu jahil terhadap keadaan kawalan media di Malaysia. Dari konteks ini, cadangan "no favour" terhadap Sin Chew oleh Tian Chua masih belum boleh dianggap sebagai penindasan media atau pencabulan kebebasan media dengan kuasa daulah. Ini kerana Tian Chua masih tidak memegang kuasa untuk menghukum media. Malah, tindakan yang digelar "no favour" ini gagal menandingi operasi lalang pada tahun 1987, yang menutup syarikat akhbar Sin Chew untuk setengah tahun, menjadi igauan yang menghantui syarikat-syarikat akhbar sehingga hari ini. ![]() Persoalan keduanya, sejauh manakah keadaannya - yang membenarkan sesebuah parti politik untuk mengambil pendekatan untuk memboikot media? Bahayanya media Godzilla Untuk persoalan kedua, "kebebasan media" tidak harus menjadi perisai untuk media mempermainkan isu dengan niat yang jahat, memutar-belitkan kebenaran dan mensensasikan berita yang ganas dan lucah. Sebagaimana yang diperhatikan, wujud satu fenomena yang tidak sihat - "kebebasan media" dijulang untuk menangkis segala kritikan terhadap kelakuan diri yang terpesong, atau apabila newsmaker enggan menerima wawancara media tersebut. Inilah yang dikatakan oleh Nan Fang Shuo sebagai "hak keistimewaan yang sudah menjadi kelumrahan". ![]() Untuk parti politik, seandainya laporan media hanya kesilapan teknikal, dan bukannya kesalahan dari segi moral, malah media tersebut sudi memperuntukkan ruang untuk dijawab, dan mengelakkan diri daripada mengulangi kesilapan, maka tiada alasan untuk parti politik berperang dengan media tersebut. Namun, seandainya mereka berdepan denganUtusan Malaysia yang dikuasai UMNO, bukan sahaja melapor dengan niat yang jahat, malah tidak memperuntukkan ruang kepada pihak yang terlibat untuk menjawab tuduhan. Nampaknya tiada jalan lain selain boikot untuk menyatakan protes. Tian Chua memilih untuk tidak menggunakan Sin Chew Daily sebagai salurannya menyampaikan mesej, dan bukannya dengan kuasa daulah (yang pada hakikatnya tidak dimiliki olehnya), adalah pihak yang menanggung kerugian di sebaliknya. Isu "no favour" ini sebenarnya mendedahkan persoalan yang lebih wajar diambil perhatian umum, iaitu betapa ngeri dan bahayanya sesebuah konglomerat media yang menjadi dominasi lantaran daripada monopoli. Selepas cadangan "no favour" dilontarkan, Sin Chew telah mengasak Tian Chua dengan pelbagai ruang komentar, tetapi tetap tidak mengakui kesalahan dirinya. Keadaan ini adalah sesuatu yang lumrah dan berlaku untuk sekian lama. Tetapi selain daripada sesetengah penganalisa, jelas kebanyakan pembaca tidak menyedari apa masalahnya dengan tindakan sedemikian. ![]() Media menjadi alim bagaikan kucing ketika berdepan dengan parti pemerintah, tetapi garang bagaikan harimau ketika berdepan dengan pembangkang. Walaupun tidak kurang wakil rakyat pembangkang yang sedar bahawa media tradisional biasa menjadi penyalur suara parti pemerintah, tetapi mereka tetap berbaik-baik dengan mereka, atau sekurang-kurangnya tidak berani untuk menyingung mereka, semata-mata untuk mendapatkan liputan dalam media tradisional. Jelas, orang awam langsung tidak mempunyai modal untuk memboikot media. Ini kerana monopoli media oleh konglomerat media telah merampas hak pembaca untuk memilih antara media A dengan media B, malah hak orang awam untuk diberi liputan media B kalau tidak media A. Oleh yang demikian, persoalan yang harus direnung di sebalik isu "no favour" ini adalah, kalau media adalah pemantau, siapa pula yang memantau pemantau ini? Ia menjadi satu keperluan yang harus diteliti, apabila kita berdepan dengan realiti bahawa ruang wacana kini didominasi oleh dua media Godzilla, iaitu Media Prima dan Media Chinese International Limited. *Lidah pengarang yang disiarkan dalam MerdekaReview, edisi bahasa Cina pada 16 Julai 2010. Diterjemah oleh Lim Hong Siang dari teks asal. |
No comments:
Post a Comment