MELAKA, 22 Nov – Presiden World Assembly of Youth (WAY) Datuk Seri Mohd Ali Rustam hari ini melepaskan jawatannya setelah menerajui pertubuhan keamanan bagi belia seluruh dunia itu selama 17 tahun.
“Saya sudah berusia 61 tahun, hampir seusia dengan WAY yang ditubuhkan pada tahun 1948 di London untuk mempromosikan keamanan sedunia dan kini tiba masanya untuk saya mengundurkan diri,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Perhimpunan Am WAY kali ke-15 di Ayer Keroh di sini.
Mohd Ali berkata beliau telah merancang untuk bersara sejak tahun lepas setelah menerajui WAY selama empat penggal bermula pada 1993.
Ketua Menteri Melaka itu mencadangkan supaya ahli parlimen Tangga Batu yang juga bekas timbalan menteri pengajian tinggi, Datuk Idris Haron untuk memgambil alih jawatan itu.
“Kebetulan perhimpunan WAY kali ini merupakan tahun pemilihan bagi jawatan presiden dan saya mengusulkan menerusi Majlis Belia Malaysia (MBM) supaya Idris ditampilkan calon presiden WAY supaya kekal di tangan rakyat Malaysia,” katanya.
Mohd Ali, tokoh politik yang aktif dalam penglibatan belia peringkat negara dan global, menyertai WAY pada 1989 sebagai naib presiden sebelum memegang tampuk presiden pada 1993.
WAY yang dianggotai oleh 104 negara, kini mempunyai sekretariat dan bangunan di Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini.
Mohd Ali berkata Idris berupaya meneruskan kepimpinan WAY dengan baik dan cemerlang.
Sementara itu, Idris ketika ditemui pemberita berkata beliau berharap mencapai persefahaman dalam mengambil alih kepimpinan WAY.
“Ini kerana Indonesia dan Somalia menerusi wakil mereka juga menyatakan hasrat untuk bertanding bagi jawatan presiden ini,” katanya yang bersama WAY sejak 1996 dan ketika ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Audit badan itu.
Pengundian bagi jawatan presiden WAY dan jawatan lain yang dipertandingkan iaitu lima jawatan naib presiden dan tujuh kerusi jawatankuasa eksekutif dijangka diadakan pada Rabu ini.
Kira-kira 300 perwakilan menghadiri perhimpunan WAY kali ini. – Bernama