Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari berkata, persefahaman PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat mencetuskan suasana politik lebih sihat, berbanding sebelum mereka bersama dalam gabungan itu.

Fauzi berkata, berdasarkan pemerhatian beliau, keadaan semasa berbeza dengan sebelum ini apabila kedua-dua parti itu dianggap "macam anjing dan kucing" ekoran perbezaan ideologi.

"Kalau dulu kita lihat PAS dan DAP memang macam anjing dengan kucing. Langsung tidak boleh (bersama). Tapi (selepas) ada faktor jalinan ini, kita lihat satu keharmonian dalam masyarakat Malaysia ini.

"Kalau dulu kita lihat, ada banyak syak wasangka. Tapi sekarang (apabila) saya meninjau dari segi kedudukan hubungan antara kaum, walaupun masih ada kebimbangan, ada rasa perkauman, tapi saya nampak darjah perbezaan yang ketara.

"Dulu kita nampak ada unsur-unsur perkauman tetapi sekarang (ini) tenteram, aman, tak banyak syak wasangka. Ini saya nampak memberi suasana baru di Malaysia," katanya.

Ketika diwawancara Malaysiakini, Fauzi - yang menyertai PAS Mei lalu – berkata, jalinan keharmonian antara PAS dan DAP melalui usaha Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi faktor yang mengikat mereka.

"Jalinan ini kita nampak cukup berkesan, dan rakyat boleh terima secara baik, apatah lagi bukti-bukti sekarang ini, orang kata, keharmonian begini menambahkan lagi suasana aman, dan ini menyebabkan rakyat mudah membuat pilihan," katanya.

Mengimbau pertembungan kedua-dua parti itu, Fauzi berkata ia berlaku apabila kedua-dua parti itu sebelum ini saling menggelar dan mengecam, khususnya melibatkan isu hukum hudud.

'Apa beza hudud dan Kanun Keseksanan?'

Bagaimanapun, tidak seperti ahli parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh, Fauzi berkata, ketika ini rata-rata pemimpin DAP – seperti Setiausaha Agung  Lim Guan Eng dan ketua parlimennya Lim Kit Siang –  semakin memahami isu hudud.

"Maknanya, dia (Guan Eng dan Kit Siang) tak boleh nak kata tak boleh (laksana hudud). Sebab dia semakin faham. Dia menerima satu hakikat bahawa, kita tak takut sangat kalau hudud ini (dilaksana). Ia (hanya merangkumi) dua tiga hal sahaja hukum yang ditetapkan oleh Tuhan," kata Fauzi.

Mengulas mengenai penentangan Karpal terhadap hukum Islam itu, Fauzi - yang berkhidmat dalam polis selama 32 tahun - menganjurkan supaya semua pihak "berlapang dada" dan meninggalkan "aliran pemikiran lama".

Fauzi juga mempersoalkan penolakan “hudud Allah” oleh sebahagian rakyat Malaysia sedangkan mereka boleh menerima undang-undang sivil seperti Kanun Keseksaan yang diwarisi daripada British.

“Apa beza (hudud) dengan Kanun Keseksanan? Ia (Kanun Keseksaan) bukan kamu tulis. Ia berasal daripada British,” katanya lagi.

Fauzi menegaskan, hukum hudud juga tidak boleh dilaksana  selagi PAS gagal meyakinkan rakan gabungan yang lain.

Menyentuh hubungan dalam Pakatan, Fauzi juga berkata “salah faham” yang timbul sebelum ini ekoran tidak ada interaksi untuk saling memahami.

Justeru, beliau menegaskan pentingnya kesepaduan antara parti-parti pembangkang - yang mempunyai ideologi politik yang berbeza - memudahkan rakyat membuat pilihan untuk bersaing dengan BN.

Fauzi diwawancara oleh Kuek Ser Kuang Keng, Abdul Rahim Sabri dan Koh Jun Lin.