Followers

Klik Sekali

All Year Round Sales - Jualan Murah

Anda Mencari Sesuatu?

KLIK AJER DI SINI

Related Posts with Thumbnails

Monday, January 30, 2012

Azhar Idrus Fenomena Baru Merubah Anak Muda

Dipetik dari : Blog MSO
Azhar Idrus
Fenomena Baru Merubah Anak Muda


Satu malam entah macam mana dalam asyik melayari muka buku (Fb) sebelum melelap mata tiba-tiba saya terjumpa dengan you tube Ustaz Azhar Idrus. Saya membukanya dengan tidak sengaja dan mendengar syarahannya mengenai agama. Dialek atau slangTerengganu yang diguna pakai dalam berceramah menjadikan saya mengambil masa untuk mengamatinya kerana ada sesuatu kelainan dan sedikit unik. Sebutannya ada iras-iras pelawak Mat Over.

Dalam minda tertanya-tanya siapakah dia ini?

Tumpuan saya terpaku kepadayou tube itu beberapa ketika kerana ada kemesraan cara dia berceramah. Patah-patah ungkapan dan anologi yang dibuat untuk menjelaskan sesuatu mauduk mengenai agama mematikan saya di situ untuk tidak menyentuh skin I-Pad mengalih kepada you tubesyarahan ustaz-ustaz yang lain.

Duration video yang ringkas dalam tempoh tiga hingga lima minit meringkaskan kerja kita untuk terus menikmatinya. Selepas satu, satu saya membukanya. Tanpa disedari malam itu Azhar mengheret saya ke jam empat pagi. Hebat... tiada syarahan agama sebegitu yang saya mengikutinya sampai begitu lama, kecuali oleh ustaz atau Kiyai dari Indonesia.

Malam besok sesudah selesai membuat posting akhir -susupan tengah malam - saya mencari klik video beliau. Sambil berbaring - melentang meletakkan I-pad di atas dada mendengar Azhar bersyarah, lagaknya macam mendengar lagu-lagu hindustan lama nyanyian Mohamad Rafi dengan Asha Bosle pula. Dan malam seterusnya saya mengikuti lagi. Memang dia ini ada aura dan ada keunikan tersendiri.

Satu tengahari semasa berkumpul dengan anak-anak terkeluar kisah Ustaz Ashar yang lebih menarik dari apa yang saya rumuskan. Saya cuba menarik perhatian anak-anak supaya membuka you tubenya. Tiba-tiba anak saya memberi tahu lebih mendalam mengenai Azhar dari apa yang saya tahu. Menurut anak saya memang Azhar popular dan you tube dia disaksi oleh anak-anak muda. Rakan-rakannya juga menjadi penagih kepada syarahan ustaz berjanggut hitam lebat itu.

Ah rupanya anak saya sudah jadi peminat kepada Azhar. Kemudian malam-malam seterusnya bila ada senggang waktu saya mengikuti syarahannya.

Maklumat diberikan anak saya itu menjadi saya makin ingin mengetahuinya. Menurut anak perempuan saya Azhar seorang yang meminati bidang fotografi dan dia merupakan ahli jurugambar yang baik dan dia juga ahli muzik. Saya tidak tanya lanjut muzik dalam bidang apa dan apakah dia pernah terlibat dengan gang rockers, atau artis lain yang insaf berpaling dari dunia hiburan komersial + sekular kepada dunia hiburan dakwah. Sebelum ini rasanya saya tidak pernah tenguk gambarnya sedang menyanyi?


Seorang anak buah yang suka menelaah internet memberi tahu, Azhar ini di zaman remajanya adalah ahli kumpulan nyanyian. Pernah menjadi pemain base guiter kepada kumpulan disertai seorang penyanyi yang ketika itu belum terkenal. Selepas itu beliau meninggalkan kumpulan muzik itu dan memasuki pondok di Terengganu selama 12 tahun. Azhar juga pernah bekerja sebagai guru sementara mengajar bahasa Inggeris. Itu cerita anak buah saya.

Mulanya saya pesimis kepada Azhar ini kalau dia benar-benar memang ahli muzik. Sebab sebelum ini sudah ada beberapa artis dan ahli muzik yang menukar pentas kemudian kembali kepada pentas asal. Banyak yang cuba mencari peluang dalam medium politik (Pas) untuk kepentingan dirinya. Dan setelah apa yang diharapkan itu meleset mulalah menjauhi diri dan kembali ke pentas asalnya semula. Atau pun terpaksa melupai niat untuk berdakwah dalam dunia politik kerana tekanan pihak berkuasa.

Pengetahuan dan maklumat yang diberikan oleh anak perempuan saya, serta oleh anak buah itu menjadi saya ingin mengetahui siapa gerangan Azhar. Saya mulai mencari dan tertanya-tanya sendiri. Video syarahan agamanya saya terus dengar dan dengar sambil menggali latar belakang dan idealismenya. Isi dan juga bentuk syarahan seseorang itu akan mengenali kita tentang latar belakang dan matlamatnya.

Justeru bila ada masa senggang saya membuka you tube dan mendengar ceramahnya. Sedikit sebanyak dan perlahan-lahan saya sudah mulai mengenali latar belakangnya. Sudah mulai tahu kenapa dia menjadi kegilaan anak-anak muda. Juga mengetahui apakah yang tertanam di dalam hatinya menerusi lisan ceramah-ceramahnya.

Ustaz Azhar diminatinya kerana ceramah yang disampai secara bersahaja dan penuh dengan jenaka (humour). Inilah menyeronokkan dan disenangi oleh anak-anak muda. Permasalahan agama yang dibawa juga yang ringan dan berlegar dalam diri anak muda seharian, misalnya mengenai permasalahan bertahrah, sembahyang, hukum halal haram dalam bersosial, berpakaian dan sebagainya. Azhar juga berani atau berterus terang dalam menyatakan sesuatu untuk memberi penjelasan. Kerana itu beliau dilihat nampak seperti kurang sopan.

Boleh dikatakan 80 peratus topik yang disentuh membabit golongan muda, tidak kira lelaki dan perempuan. Kelebihan lain dia bersyarah dalam bentuk jenaka. Tidak ada unsur-unsur politik melebih dari ceramahnya, apa lagi mengajak anak-anak muda menyokong mana-mana parti siasah.

Cara dia melayani anak-anak muda dengan menjawab soalan secara langsung juga satu faktor kenapa beliau popular dan disukai orang. Apa dilakukan sesuai dengan keadaan hidup hari ini yang berterus terang dan tidak perlu berkias-kiasan. Hari ini manusia suka ringkas dandirect to the point. Demikian juga bahasa penyampaian mudah difahami dan mengguna bahasa semasa, bahasa SMS dan Fb.

Dalam kata lain Azhar menjiwa anak-anak muda dan tepat kalau beliau digelajar sebagai Ustaz anak-anak muda atau pun Ustaz Fb atau pun Ustaz SMS. Ini satu instrument atau teknik berdakwah secara baru. Beliau juga menyinis dan menyindir tetapi kepedihannya tidak terasa kerana ia dilakukan dalam gelak tawa dan penuh kemanjaan. Tetapi setelah apa dijenakai itu didengari bersendirian barulah dapat merasai bahawa sindiran itu ditembak kepada diri kita atau sesiapa. Jadi di sinilah keinsafan timbul di dalam sanubari pendengar.

Kecenderongan siasah

Mengenai latar belakang atau kecenderongan siasahnya saya tidak dapat menyangka mulanya. Tetapi saya sudah merasakan dia mesti penyokong Pas atau ahli Pas. Logiknya, mana-mana Ustaz yang popular di negara ini, selalunya dia mestilah dari kalangan penyokong Pas. Sebab kebanyakan yang cenderong kepada ceramah agama ialah mereka yang ada kesedaran agama dan dalam hal ini orang Pas ada peminat utamanya. Dalam pemerhatian saya tidak ada ustaz bebas yang popular tetapi tidak ada sangkutan dengan Pas. Apa lagi tidak ada ustaz yang jelas "biru" yang popular?

Ternyata sangkaan saya ini benar apabila dia menghadiri satu program anjuran Dewan Pemuda Pas, berada di pentas bersama pemimpin Pemuda Pas. Dari sini menjelaskan bahawa kecenderongan politiknya ialah Parti Islam Se MalaysiaSeperkara lagi apabila beliau sering kali menyebut atau menjadikan 'JKKK' watak badut dalam kisah-kisah yang disebut dalam ceramahnya menunjukkan dia suka kepada Pas. JKKK adalah sinikal yang cukup melucu dan cukup signifiken.

Satu hari saya jumpa dengan Mustapa Ali Setiausaha Agung Pas dan saya menanyai mengenai Azhar. Katanya Azhar berasal dari Ladang Kuala Terengganu. Dia seorang ustaz biasa saja tetapi kini sudah popular, kata Mustapa. Pihak Pas ada berjumpa dengannya. Tujuan saya berjumpa itu juga untuk memberi tahu Mustapa agar Pas tidak menggunakan aset yang ada kepada Azhar. Maksud saya jangan sesekali meminta dia bertanding dalam pilihan raya sebagai calon Pas. Jangan jadikan dia calon payung terjun untuk membantu Pas. Auranya jangan dicuri.

Jadi bila ada berita mengatakan kemungkinan Azhar akan diminta bertanding atas tikit Pas ia cukup membimbangkan saya. Keputusan itu tidak tepat dan tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya akan merugikan anak-anak muda yang dahagakan ilmu dan pengetahuan agama darinya. Saya takut kalau dia bertanding dan menang dia tidak lagi berkesempatan untuk beribadat seperti hari ini.

Jadi saya harap berita itu tidak benar dan Pas Terengganu tidak merosakan reputasi Azhar.

Dan malam tadi saya pertama kali hadir mendengar kuliyyah agama Azhar yang diadakan di masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Shah Alam. Saya memang menyempatkan diri. Awal-awal lagi sudah berjanji dengan sdr Zulaimi Kazin, taukeh Kopi Janda dan juga sdr Zaki Abdul Rahman kawan sekariah dengan saya untuk hadir pada ceramah tersebut.

Sebelum ini saya tidak pernah berkebetulan untuk hadir kuliyyahnya yang diadakan di Hulu Kelang berhampiran kediaman saya di Wangsa Melawati. Ada-ada sahaja perkara menghalang. Jadi malam tadi baru saya berjaya melepaskan niat untuk menyaksikan kuliyyah Azhar. Mahu tenguk sendiri secara live bagaimana Azhar beintraksi dengan pendengar dan peminatnya. Dan juga mahu tenguk sendiri bagaimana sambutannya.

Masya-Allah.. masya-Allah! Saya seakan tidak percaya saya berada di Malaysia. Saya merasakan persis berada di Indonesia. Di Indonesia fenomena begitu adalah biasa. Ceramah dan majlis Kiyai dihadiri ratusan ribu manusia, termasuk juga anak-anak muda rocker dan yang bergeladangan. Lapangan masjid akan penuh dan melimpah hingga ke jalan raya berkilo-kilo meter. Itu di Indonesia. Di sana para ustaz dan Kiyai sudah menjadi macam selebriti yang digilai dan diminati. Ustaz dan Kiyai yang digilai hidup senang lenang dan kaya raya. Saya masih ingat macam mana Allahyarham Zainuddin MZ memenuhi undangan berceramah menggunakan helikopter.

Nah... begitulah apa yang saya rasa. Bahawa Azhar sudah sampai standard dunia - dunia Indonesia. Saya sampai dua jam sebelum Maghrib. Suasana di perkarangan masjid Sultan Sallahuddin Abdul Aziz sudah penuh sesak. Anak muda berderetan masuk macam hendak menuju ke bioskop melihat wayang. Belum pernah saya menyaksikan suasana demikian di Malaysia ini orang berderetan, berjujutan khasnya anak-anak muda lelaki perempuan menuju ke masjid.

Selalu ditenguk anak muda jantan betina keluar rumah sebelum Maghrib berjujutan untuk ke pesta ataupun ke pertandingan fesyen, lagu atau pun anugerah kepada artis dan bintang filem. Tetapi apa yang saya tenguk semalam adalah kelainan, satu fenomena yang sungguh membahagia dan mengharukan jiwa yang insaf.

Semasa mendirikan solat Maghrib sesuatu yang menyentuh hati kecil saya, rasa bahagia dan terharu berkecamukkan di dalam diri. Rasa suka dan cerita membalun lubuk hati. Merasakan diri hina dan kerdil di tengah-tengah jemaah yang berasak dan ramai begitu. Entah kenapa terasa semasa mendirikan solat Maghrib dan Isyak laksana persis berada di masjidil Haram dan masjid Nabawi di Madinah di mana jemaahnya begitu teguh merampatkan saf di antara satu sama lain dengan penuh ukhawah Islamiyah.

Untuk awal saya simpulkan, Azhar kini menjadi satu fenomen di kalangan anak-anak muda yang inginkan maklumat mengenai agama. Iya walaupun masih ada ramai lagi yang belum mengetahui dan mengenalinya serta tertarik kepada syarahannya kalau ada bantuan dari pihak berkuasa dan tidak ada pula dengki dan khianati insya-Allah Azhar akan dapat membawa sesuatu fenomena baru kepada dunia anak muda kita yang mana natijahnya memberi kehebatan kepada negara ini juga.

Jadi biarlah dan berikan kebebasan kepada Azhar untuk menangani dan melayani anak-anak muda semahunya. Biarlah ia basah muka anak-anak muda dengan wuduk dan mengajak mendekati Allah secara popular. Jangan diusik dan jangan didengki kepadanya. Juga jangan ada sesiapa yang cuba hendak menumpang pengaruhnya. Apa yang perlu semua pihak sokong dia.

Ada baiknya kalau kuliyyah seperti semalam yang bersih dari elemen politik dan bukan medium propaganda untuk mana-mana parti disiarkan secara langsung oleh seluruh rangkaian televisyen di negara ini.

Dalam tilikkan saya pendekatan dan kaedah diambil Azhar lebih baik dari kaedah dan pendekatan satu kumpulan yang kononya hendak memulihkan akidah ummah dengan mengadakan majlis Bicara Ummah atau sebagainya tetapi hakikatnya membelasah sebuah parti politik. [wm.kl.1:55 t/hari 30/01/12]

Cerita Dolu Dolu