proton_preve
KUALA LUMPUR - Proton Holdings Bhd, yang setakat ini menerima 2,800 tempahan untuk kereta global pertama yang baru dilancarkan,  Proton Preve, akan mula memasarkan kereta itu di Indonesia dan Thailand pada pertengahan tahun ini, kata Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir hari ini.
“Sejak dilancarkan, kami merekodkan tempahan sebanyak 2,800 unit. Kami mendapat sambutan yang sangat menggalakkan."
“Ramai yang berpuas hati terhadap reka bentuknya dan ini memberikan kami keyakinan bahawa Proton Preve dapat menembusi pasaran domestik, dan Insha-Allah ia akan berada dalam pasaran luar negara menjelang pertengahan tahun ini," katanya kepada pemberita pada pelancaran bilik pameran baharu Proton di Jalan Ampang di sini hari ini.
Beliau berkata, Proton Preve akan dipasarkan di Australia menjelang akhir tahun ini.
“Kami akan mulakan dengan Indonesia dan Thailand, dan menjelang akhir tahun, kami akan memasarkannya di Australia. Inilah strategi kami dalam memastikan ia dipasarkan di Malaysia sebelum ke luar negara," katanya.
Syed Zainal yakin Proton dapat mencapai sasaran jualan bulanan sebanyak 4,000 unit  Proton Preve.
“Saya yakin kami dapat mencapai sasaran itu. Namun, kami mesti mendapat kerjasama daripada institusi kewangan bagi memberi pinjaman kepada mereka yang mahu membeli kereta. Setakat ini, kami memperoleh kerjasama daripada institusi kewangan untuk tujuan itu," katanya.
Syed Zainal juga berkata kira-kira RM2.5 juta dibelanjakan untuk menaik taraf bilik pameran Jalan Ampang kepada bilik pameran Platinum. Reka bentuk moden bilik pameran itu dengan muka bangunan menyerong dan dinding tanpa cermin, sinonim dengan gaya baharu bilik pameran Platinum Proton di Mutiara Damansara.
Beliau berkata, bilik pameran itu penting memandangkan ia terletak berdekatan kebanyakan kedutaan, dan oleh itu ia mesti berkualiti dan mencerminkan ciri-ciri Proton.
Beliau juga berkata, ubah suai bilik pameran itu merupakan sebahagian daripada pelan penyepaduan Proton yang diputuskan dua hingga tiga tahun lepas bagi memastikan kepuasan pelanggan.
Menurut Syed Zainal, Proton akan menaik taraf beberapa lagi bilik pameran ke tahap Platinum. Proton mempunyai 201 bilik pameran di seluruh negara.
“Kami sedang melakukan kajian. Kami mahu menaik taraf beberapa lagi bilik pameran dari semasa ke semasa. Setiap bilik pameran mesti sama. Untuk itu kami mesti melabur," katanya.
Mengenai sama ada beliau akan kekal sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Syed Zainal berkata: Saya tidak dapat mengulasnya sekarang. Masanya tidak tepat.” – Bernama