Sudah dua hari pada 16 & 17 Jan 2008, TV3 memaparkan isu adik Adi Putra yang bijak matematik terpaksa berhenti sekolah. Dia merupakan pelajar pintar matematik yang agak heboh beberapa tahun lalu semasa berumur 5 tahun. Tahun lepas dia memasuki Sekolah Islam Antarabangsa di biayai oleh antaranya kerajaan Terengganu. Tahun ini dia telah berhenti atas logika alasannya adalah otaknya berenjin seperti Ferrari tetapi input sekadar seperti enjin Kancil.
Apabila TV3 meminta komen dari Senator Prof Datuk Ismail , beliau tidak mahu komen atas alasan usaha yang dia lakukan sebelum ini tidak dihargai oleh ibubapa Adi Putra.
Aku terpanggil mencoretkan kisah ini atas beberapa perkara.
1 - Di sebabkan dia 'genius' adakah menjadi tanggungan kerajaan untuk memastikan dia mendapat pelajaran yang sepatutnya dan secara tidak langsung negara mendapat manafaat?
2 - Apakah dia cukup genius dalam serba serbi hingga tidak perlu memasuki mana-mana kelas pembelajaran di sekolah?
Aku bukanlah genius seperti budak ini tetapi aku juga boleh memahami keadaan tersebut. Dalam pendidikan awal yang di beri oleh ibubapa aku, aku sudah boleh membaca seawal umur 3 tahun. Oleh kerana sistem pendidikan dahulu yang berulang, dan makcik-makcik aku yang tinggal bersama-sama aku, aku telah selesai mentelaah buku-buku sekolah rendah seawal umur 6 tahun dan apabila masuk ke sekolah aku memang cukup bosan kerana semua aku telah fahami. Adakah aku hendak berhenti sekolah atau menuntut di carikan sekola yang lebih advance?
Aku tidak pulak dengar Adi Putra ni telah juga menghafal 30 juz Al-Quran, atau boleh mengambil peperiksaan O-Level sekarang juga. Anda ingat Sufiah Yusuf? Ibubapa beliau menghantarnya meneruskan pelajaran dalam matematik seawal umur 12 tahun ke London. Kerajaan tanggung perbelanjaan dia kah? Malaysia mengetahui kepandaian dia pun sesudah dia dapat masuk ke Universiti sebagai pelajar termuda dalam bidang matematik.
Bagi kes Adi Putra ini, antara komen yang aku dengar di ceritakan adalah, ibubapa tidak berpuashati apabila Kementerian Pelajaran mengesyorkan Adi Putra ini mengambil peperiksaan UPSR. pada aku jika dia boleh lulus cemerlang pada umur 7 atau 8 tahun, bolehlah juga di syorkan mengambil peperiksaan PMR dan SPM dan seterusnya peperiksaan Universiti dan sudah tentu, jika dia boleh lulus dengan cemerlang, dia boleh masuk ke Universiti sebagai pelajar termuda dan aku rasa Universiti boleh menerimanya.
Kesimpulannya, walaupun dia mungkin genius matematik tidak bermakna dia genius dalam menghadapi kehidupan. Tidak bermakna dia juga genius dalam segala-galanya. Jika pada usia semuda ini dia telah di dedahkan dengan segala kebongkakan bahawa anak-anak sebayanya tidak setaraf, aku harap budak ini akan jadi manusia di masa hadapan.
Wallahua'lam.