maru
BATANG KALI – Yang Dipertua Pertubuhan Sosial dan Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Selangor, Maru Krishnan menjadi individu terawal menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau yang masih memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hulu Selangor mengumumkan pencalonannya dalam sidang media ringkas malam kelmarin dan bakal bertanding di atas kerusi bebas.

Menurutnya, pencalonan itu dibuat berikutan dakwaan wujud kepincangan dalam pentadbiran PKR cabang ini dan mahu membuat perubahan.

“Dalam PKR, sokongan kaum India telah berpecah sebab semua mahu bertanding.

“Sebab kehadiran calon luar yang berniat mahu memecahkan undi kaum India dan India dalam Pakatan Rakyat (PR) susah bersatu padu disebabkan ini,” katanya.

Menurutnya, rakyat selama ini meletakkan kepercayaan kepada PR dan sokongan terhadap PKR dengan harapan membawa perubahan selepas PRU 2008.

Bagaimanapun katanya, perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin parti itu menjadi punca perpecahan dalam PR.

Beliau berkata, berdasarkan rekodnya terdapat lebih kurang 4,000 ahli kaum India dalam PKR cabang Hulu Selangor daripada keseluruhan 14,000 penyokong PKR.

Namun menurutnya, sokongan kaum India telah berpecah disebabkan faktor tersebut.

Beliau menyentuh isu pelantikan Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) baru-baru ini yang didakwa dipengaruhi keputusan Exco dan pemimpin peringkat atasan tanpa mengutamakan suara di peringkat cabang termasuk wakil NGO.

Menurutnya, PKR sudah lebih 10 tahun berkuasa dan mentadbir Selangor selama empat tahun tetapi pincang dalam perkara melibatkan pelantikan ahli majlis.

Katanya, perkara itu menjadi faktor perpecahan dalam kalangan masyarakat India kerana kecewa dengan setiap keputusan yang dibuat.

Beliau yang pernah menjadi penyokong kuat MIC dan Barisan Nasional (BN) turut mendakwa wujud pergolakan dalam kepimpinan BN Hulu Selangor.

Menurutnya, sebagai NGO dan calon bebas beliau akan berusaha membawa perubahan untuk kedua-dua parti tersebut.

Katanya, beliau mendapat sokongan kaum India yang mahukannya bertanding.