140,000 Banjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam Sambut Tahun Baru
– JANUARY 1, 2013
SHAH ALAM, 1 JAN: Lebih 140,000 orang dari pelbagai lapisan usia hadir membanjiri Dataran Kemerdekaan, Shah Alam bagi memeriahkan Program Jom Santai Bersama GeMS kelolaan Kerajaan Negeri sempena ambang 2013 di sini malam tadi.
Program GeMS – Generasi Idaman Selangor, itu diadakan dengan pendekatan menyambut tahun baru dengan tema keagamaan serta bersifat santai.
Ia ternyata mendapat sambutan hebat dan ia memberi nafas baru kepada penganjuran majlis.
Terdahulu, program terbabit berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Disember dengan pelbagai program menarik termasuk Karnival Pendidikan Selangor- EduSEL Fair 2012.
Selain itu, turut diadakan ceramah santai yang bertajuk SPIES membentuk masyarakat sejahtera yang menampilkan Dr Ruziah Ghazali, Ustaz Shukri Yunus dan Ustaz Fauzi Mustafa.
Forum Jom Bercinta yang membariskan panel Ustazah Fatimah Syarha dan pelakon, Shamsul Ghau-Ghau dan ceramah ilmuan bersama Ustaz Datuk Ismail Kamus.
Manakala, sambutan kemuncaknya diadakan program sambutan Ambang 2013 dengan menyaksikan persembahan sajak daripada pelakon, Diana Amir dan Sembang Santai bersama Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Haslin ‘Bollywood’, Datuk Malek Noor, Kamal Adli, Pierre Andre dan Aziz M.Osman.
Gabungan golongan agama dari generasi lama dan baru dan artis popular itu berjaya menarik perhatian pengunjung untuk mengikuti majlis dari awal hingga akhir.
Malah detik sambutan tahun baru yang berakhir 1 pagi itu diakhiri dengan nyanyian nasyid ‘Asma Ul Husna’ oleh semula jemputan dan Exco Kerajaan Negeri, Dr Halimah Ali, Dr Yaakop Sapari dan Rodziah Ismail, Dr Yunus Hairi dan Ketua AMK negeri, Azmizam Zaman Huri.
Ia disusuli dengan bacaan doa penutup oleh Ustaz Azhar Idrus.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali ketika ditemui selepas majlis berkata beliau amat berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk di negeri itu.
Katanya, cara pendekatan yang digunakan oleh Kerajaan Negeri ternyata dapat diterima oleh rakyat.
“Dengan menggunakan artis dan diselitkan unsur keagamaan untuk mendekatkan masyarakat muda ternyata berjaya.
“Alhamdulillah sambutan kali ini lebih ramai berbanding tahun lalu. Bukan sahaja golongan muda tetapi juga golongan yang sudah berusia datang memeriahkan majlis.
“Ini adalah antara sebahagian daripada program anti- zina jadi kalau Kerajan Negeri tidak menguruskan keperluan, minat, citarasa, ciri-ciri orang muda itu kepada program yang bersifat positif maka mereka akan tertarik kepada program yang negatif dan seterusnya terjebak di dalam gejala sosial,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat akan terus memastikan rakyat di negeri itu mendapat manfaat daripada apa yang dilakukan.
“Sekiranya kami masih kekal menerajui Selangor, rakyat jangan bimbang kerana Pakatan Rakyat akan memastikan warisan budaya, seni dan agama untuk terus diperjuangkan,” katanya.
Pengunjung, Mohd Lazim Mustafa, 52, berkata sambutan ambang 13 yang diadakan pada tahun ini lebih meriah daripada tahun sebelumnya.
“Alhamdulillah tahun ini lebih ramai. Apa yang lebih penting lagi saya lihat penganjuran kali ini banyak aktiviti dan program yang bermanfaat dilaksanakan,” katanya.
Selain itu, bagi Rosmawati Kamaruddin, 33, berkata program yang dilihatnya lebih berunsurkan ilmiah itu dapat memberi manfaat kepada setiap lapisan.
“Apa yang saya lihat, program kali ini memberi banyak faedah bukan sahaja golongan muda tetapi juga golongan berusia dan kanak-kanak. Semua lapisan dapat manfaat daripada aktiviti yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Manakala, Ikhwan Mokhtar, 23, berharap program yang berunsurkan ilmiah seperti itu akan terus diadakan pada masa akan datang.
“Walaupun sebagai anak muda, saya memilih untuk menghadiri program yang dianjurkan Kerajaan Negeri ini berbanding program berbentuk hiburan yang dianjurkan pihak lain.
“Bagi saya ia kerana saya merasakan diri menjadi lebih tenang. Ini merupakan tahun kedua saya hadir ke sambutan tahun baru di Selangor ini, alhamdulillah saya lihat ramai anak muda yang datang,” katanya.