Angkara tahi judi
GEORGETOWN - Kawasan belukar yang dilimpahi air tidak jadi halangan bagi sekumpulan tahi judi untuk melepaskan gian.
Bukan itu sahaja, mereka yang pernah beberapa kali diserbu dan ditangkap polis juga tidak serik kerana sudah terlalu kemaruk. Bagaimanapun, tempat yang dirasakan selamat daripada pemerhatian pihak berkuasa di Alor Vista, Relau itu, akhirnya berjaya juga dihidu polis.
Sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian D7 dengan kerjasama Unit Risikan Jenayah (CIU) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut menyerbu ‘port’ yang disangka selamat oleh kumpulan tahi judi itu malam semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, hasil tinjauan selama tiga hari berjaya menangkap 39 lelaki yang sedang leka berjudi.
“Mereka yang terkejut melihat kehadiran polis bertempiaran lari dan ada yang cuba bersembunyi di dalam semak bagi mengelak dicekup. Namun tindakan pantas polis berjaya menangkap semuanya,” katanya.
Kong Meng berkata, ketika serbuan itu, seorang anggota polis cedera di bahagian tapak tangan dan terpaksa menerima 10 jahitan ketika cuba menangkap seorang suspek yang cuba melarikan diri.
Kesemua yang ditangkap berusia 25 hingga 70 tahun dan ada antaranya pernah ditangkap dalam beberapa serbuan sebelum ini.
“Sindiket perjudian ini menggunakan cip untuk menggantikan wang pertaruhan. Cip coklat bernilai RM5 manakala merah RM10,” katanya.
Kong Meng berkata, dalam serbuan pada jam 10.30 malam itu, polis merampas wang pertaruhan bernilai RM160, sejumlah cip, dadu, kapur, meja dan peralatan perjudian.
“Mereka dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut dan disiasat mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953,” katanya.
No comments:
Post a Comment