KEPALA BATAS, 23 Ogos: Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia, Ann Weng Seng berpendapat, istilah 'mualaf' tidak sesuai diguna pakai kepada sesiapa sahaja yang memeluk Islam sebaliknya lebih mesra dipanggil 'saudara muslim' kerana ia tidak membezakan saudara Islam sama ada baru atau Islam baka. Katanya, kebanyakan orang Melayu beranggapan istilah mualaf ialah orang yang memeluk Islam sama ada baru atau lama berbuat demikian.
Padahal, ujarnya ada sesetengah saudara muslim lebih memahami ajaran Islam lebih dari orang melayu yang ada antaranya rendah moral dan lebih malang tidak tahu membaca Al-Quran yang menjadi kitab suci bagi umat Islam. "Penggunaan istilah mualaf harus ditukar kepada saudara muslim supaya tiada perbezaan antara mereka dengan golongan yang telah lama Islam seperti Islam baka," tegasnya. Beliau semasa ditemui selepas Majlis Iftar Perdana anjuran Hidayah Centre di Dewan Milenium, di sini menambah, dalam Islam semuanya sama tidak melihat kepada warna kulit, keturunan dan bangsa. Paling penting, katanya ialah perkongsian akidah yang menjadi nadi kepada ukhuwah yang tinggi tiada pada agama lain selari dengan hubungan silatulrahim. Tambahnya, sikap prejudis terhadap saudara baru yang memeluk Islam pasti tidak timbul lagi ekoran langkah menyemai sikap kasih sayang yang sebelum ini tidak dibuat. Persepsi yang baru amat penting agar saudara muslim tidak merasa rendah diri apabila bertemu dengan sabahat yang sama agama, kelebihan ilmu agama atau kedudukan yang tinggi dalam masyarakat, katanya.
"Selalunya kita lihat ada saudara muslim rasa rendah diri dengan membawa haluan tanpa pedoman. Perasaan itulah membolehkan mereka kembali kepada agama asal," terangnya yang juga Ahli Majlis Perkim Malaysia. Sementara itu, Saudara Kamarudin Abdullah pula menegaskan, kekurangan kasih sayang sesama Islam sekarang ini menyebabkan ada antara saudara muslim bertindak kembali kepada agama asal. Lazimnya, kata beliau mereka diabaikan dari tanggungjawab pihak yang bertanggungjawab seperti majlis agama Islam sehingga ada yang merempat ke sana ke mari walhal sepatutnya mereka dijaga, dibelai sebagaimana dakyah Kristian yang dilihat lebih berhemat, simpati serta berkebajikan. "Ada pengadu memberitahu saya bahawa dia mahu kembali ke agama asal kerana tidak tahan dengan layanan masyarakat Islam yang tidak mempedulikan mereka bahkan ada yang menganggap menyusahkan bila bertemu saudara muslim," ujarnya dengan nada tinggi. Apabila ke masjid pun tambahnya, golongan terbabit tidak dilayan dengan baik sebaliknya diketepikan begitu sahaja sedangkan mereka masuk agama Islam memerlukan ketabahan yang cukup tinggi sehingga ada yang dibuang keluarga sendiri. |
No comments:
Post a Comment