Pegangan agama longgar
SHAH ALAM - Longgar pegangan agama dalam kalangan masyarakat adalah punca utama berlakunya gejala maksiat pada bulan penuh keberkatan ini.
Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, gejala seperti itu harus dibanteras segera kerana ia mencemarkan nama agama dan umat Islam, apatah lagi maksiat berlaku ketika Ramadan.
Menurutnya, Ramadan adalah bulan membersihkan jiwa, bulan beribadat dan bulan di mana Allah limpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hamba-Nya.
“Kita harus mengisi bulan ini dengan amal ibadat dan bukan mendekatkan diri dengan maksiat. Jika seseorang itu tahu azab dan seksaan yang bakal menimpa sekiranya melakukan maksiat, sudah tentu mereka tidak melakukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pengulas laporan Sorot semalam yang memaparkan kegiatan maksiat tidak menurun pada bulan Ramadan, malah ada umat Islam yang berani melakukan perbuatan terkutuk itu secara terang-terangan.
Mereka yang sudah ‘sebati’ dengan perbuatan keji begitu, usahkan mahu memuliakan Ramadan, hari-hari biasa dalam bulan-bulan lain pun tidak ‘senang duduk’ tanpa ‘tabiat’ buruk tersebut.
Abdul Rahman berkata, maksiat berlaku bila-bila masa dan bukan hanya ketika Ramadan sahaja.
“Kalau pada bulan lain, mungkin boleh kita membuat tafsiran bahawa ia adalah pengaruh syaitan, tetapi ketika Ramadan adakah juga disebabkan pengaruh syaitan?
“Syaitan telah dirantai, jadi maksiat berlaku pada bulan tersebut disebabkan tabiat manusia itu sendiri yang gemar melakukan maksiat. Bila maksiat sudah menjadi darah daging, tentulah sukar untuk berubah,” katanya.
Abdul Rahman meminta, individu yang masih melakukan maksiat agar segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.
“Renunglah dan ingatlah mati. Besar azab dan seksaan Allah jika masih lagi melakukan apa yang dilarang oleh-Nya,” katanya.
Dalam masa sama, Abdul Rahman menggesa setiap pendakwah di Jabatan Agama Islam negeri masing-masing peka dan fokus dengan apa yang berlaku di negeri mereka.
No comments:
Post a Comment