Jumlah pertaruhan RM419.2 Juta tapi rampasan wang tunai RM 99,266 - 0.02% tu sikit sangat lah...
Judi Piala Dunia: 227 Ditahan Dengan Nilai Pertaruhan RM419.2 Juta
KUALA LUMPUR: Polis menahan 227 orang, termasuk mereka yang meminjam dengan Ah Long, kerana terbabit dalam kegiatan perjudian kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 melibatkan nilai pertaruhan RM419.2 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin berkata, kesemua mereka yang berumur antara 15 hingga 73 tahun itu bukan hanya melibatkan bookie dan penjudi tetapi Ah Long itu sendiri, dalam kegiatan pertaruhan ini.
Daripada jumlah itu, seramai 216 merupakan rakyat tempatan termasuk tujuh wanita, serta 10 warganegara Indonesia termasuk seorang lelaki, dan seorang wanita Indonesia yang berstatus penduduk tetap Malaysia, katanya.
Tangkapan itu hasil daripada 270 serbuan yang dilakukan ke atas premis bookie yang beroperasi sepanjang tempoh sebulan kejohanan bola sepak itu, yang mana hanya 151 serbuan sahaja yang berhasil, katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata, polis juga turut merampas wang tunai sebanyak RM99,266, komputer riba, telefon bimbit, kertas pertaruhan, mesin faks dan mesin pengira.
Berikutan dengan tangkapan itu, sebanyak 151 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953 "Book Maker Bola Sepak".
Difahamkan kesemua sindiket utama beroperasi secara online dan bayaran dilakukan dengan memasukkan ke dalam akaun bank yang dibuka untuk tujuan tersebut, dan juga ada yang melakukannya cara lama dengan mencatat transaksi atas kertas.
Bakri berkata, polis sedang giat mengesan empat lelaki yang dipercayai 'King Pin' utama dalam sindiket pertaruhan ini yang telah meloloskan diri ke negara jiran sebaik sahaja Ops Soga ini dilancarkan April lepas.
Menurutnya, identiti mereka yang berumur lingkungan 40-an itu telah dikenal pasti termasuk mempunyai rekod kesalahan jenayah judi dan jenayah lain dan polis sedang memantau pergerakan keluarga mereka di negara ini.
"Kita tidak berhenti di sini sahaja kerana ada lagi liga yang akan dan sedang berlangsung seperti English Premier League dan kami percaya akan wujudnya sindiket pertaruhan lain," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment