Followers

Klik Sekali

All Year Round Sales - Jualan Murah

Anda Mencari Sesuatu?

KLIK AJER DI SINI

Related Posts with Thumbnails

Tuesday, July 13, 2010

Nik Aziz dan Karpal Singh: Jika tidak penuh, separuh

Nik Aziz dan Karpal Singh: Jika tidak penuh, separuh 
- RAHMAN SHAARI


Pertentangan pendapat antara Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Karpal Singh tentang negara Islam sudah agak lama bermain di fikiran rakyat Malaysia. Penubuhan Negara Islam ialah cita-cita Pas. DAP pula telah berkali-kali mengatakan Malaysia mesti kekal sebagai negara sekular. Kini Nik Aziz dan Karpal berbahas semula, tanda mereka tidak rela kehilangan gagasan. (Utusan Malaysia 9 dan 10 Julai) 

Sejauh yang diketahui umum, Pas telah mengubah arah tuju mereka pada tahun 2008, iaitu mereka kelihatannya mula berhasrat menubuhkan negara kebajikan. Kemudian, daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kita dengari pula anjuran penubuhan negara perpaduan. 

Dalam hubungan ini, kita dapat menyimpulkan Pas sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk berubah, sehingga sedikit sebanyak ada pihak yang merasakan, akhirnya Pas akan seperti parti-parti lain juga, iaitu merestui sekularisme. Jika terjadi demikian, maka hilanglah immortality mereka. Dalam keadaan sedemikianlah, Nik Aziz perlu bangkit semula. 

Andaian Pas akan menjadi seperti parti-parti lain di Malaysia bukanlah tiada alasan. Persahabatan Pas dengan DAP ialah tanda yang nyata. Ada mengatakan Pas akan terjebak dalam dilema pentadbiran, takdirnya Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih pemerintahan Malaysia. Apa tidaknya, DAP ialah lanjutan PAP, iaitu parti yang bersungguh-sungguh menentang asas politik cara Perikatan dan Barisan Nasional. Gagasan utamanya ialah Malaysia. Pas pula tidak asing daripada UMNO walaupun sejak dahulu lagi kedua-dua parti itu memaparkan perlawanan. Sebagai tanda kesesuaian, Pas pernah menyertai Barisan Nasional, walaupun kemudian keluar. DAP sejak dahulu tidak teringin untuk menyertai Barisan Nasional. Dik Muit pun tahu. 

Pas dengan DAP pada hakikatnya adalah asing, bahkan amat asing, cuma Datuk Seri Anwar Ibrahim yang karismatik itu ‘dengan penuh keajaiban’ dapat mendekatkan kedua-dua parti itu. Oleh Anwar, ditariknya DAP ke sebelah kanannya, dan ditariknya Pas ke sebelah kirinya. Tidak ada ahli politik lain yang sanggup berbuat seperti Anwar, sama ada dari segi keupayaan, mahupun dari segi kesukaan. Namun, Anwar tidak dapat lari daripada kaedah menggula-gulai kawan, iaitu apabila disebutnya orang DAP akan menjadi Timbalan Perdana Menteri 2 jika Pakatan Rakyat memerintah. Dalam pada itu, untuk sementara, pertentangan ideologi antara Nik Aziz dengan Karpal Singh terhenti, seolah-olah tiada masalah. 

Sebenarnya, pertentangan antara Nik Aziz dan Karpal Singh hanya hilang di permukaan. Karpal Singh selaku pemikir undang-undang dan peneliti perlembagaan sesekali menyebutkan kembali apa-apa yang telah dikatakannya dahulu. Beliau faham betul akan segi perlembagaan, dan dengan pengetahuan itu beliau mengambil pendirian. Pendirian itu dipertahankan demi immortality. 

Nik Aziz pula ialah Menteri Besar yang amat berpengalaman. Daripada percakapannya, beliau yakin bahawa adalah kewajipan orang Islam untuk memikirkan dan melaksanakan penubuhan negara Islam. Baginya arah perjuangan Pas adalah jelas dan tegas, dan pemimpin serta ahli-ahli Pas tidak boleh memandang ke kiri atau ke kanan, jika kiri dan kanan itu bukan ajaran Islam. Bagi Nik Aziz, selama berteman akrab DAP seharusnya telah faham semua itu. Oleh itu, apabila Karpal Singh masih menentang penubuhan negara Islam, Nik Aziz menyatakan rasa hairannya. 

Hasrat Nik Aziz adalah jelas, iaitu beliau mahu membuktikan tidak mungkin ada kelemahan dalam Islam. Nik Aziz meminta Karpal Singh menunjukkan bahawa Islam tidak betul. Menuntut Nik Aziz, jika Karpal Singh dapat menunjukkan bahawa Islam tidak betul, beliau sendiri pun tidak mahu kepada Islam. (Utusan Malaysia, 9 Julai). Demikianlah cara atau kaedah bicara Nik Aziz yang sentiasa memperlihatkan ketegasan dalam hal ini. 

Buat masa ini, kita tidaklah terlalu mengharapkan hasil atau faedah polemik itu tersebut dengan segera. Polemik ini baik, kerana kedua-dua tokoh politik itu bersedia memberikan hujah dan logik masing-masing. Ketika ini, rakyat Malaysia menunggu hujah-hujah Karpal Singh pula. Kita dapat memastikan bahawa wakil rakyat yang cukup lama di parlimen itu pasti tahu membalas komentar Menteri Besar Kelantan. Mereka berdua ialah orang-orang lama yang sentiasa dapat mempertahankan kehebatan masing-masing. 

No comments:

Cerita Dolu Dolu