SHAH ALAM – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diramal tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor, sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo berkata, faktor umur dilihat penyebab utama pengunduran Abdul Khalid sebagai pemimpin nombor satu di negeri ini.
Menurutnya, Abdul Khalid akan disingkirkan dan digantikan dengan pemimpin yang lebih muda serta berkelayakan.
“Sekiranya PR menang PRU-13, sudah pasti mereka akan melantik pemimpin yang lebih muda namun berkelayakan sebagai Menteri Besar.
“Ini bagi memberikan suntikan baru kepada Kerajaan Negeri yang sebelum ini dilihat sebagai gagal di bawah pentadbiran diketuai Abdul Khalid,”katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Mohamad Khir berkata, kedudukan Abdul Khalid juga dilihat tidak selamat disebabkan keputusannya menarik diri daripada bertanding merebut sebarang jawatan pada pemilihan parti November ini.
Katanya, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Mohamed Azmin Ali berkemungkinan besar menggantikan tempat Abdul Khalid sebagai pemimpin utama negeri ini.
“Saya yakin dia pasti tertekan kerana apa yang dilakukannya di negeri ini tidak menepati kehendak rakyat.
“Malah, keadaan ekonomi negeri semakin goyah. Keadaan ini akan dijadikan isu utama pada PRU nanti,” katanya.
Semalam, dalam wawancara khas bersama Sinar Harian, Abdul Khalid yakin kedudukannya sebagai Menteri Besar kekal selamat sehingga PRU-13, meskipun timbul pelbagai spekulasi ia mungkin diambil alih pemimpin lain dalam PKR.
No comments:
Post a Comment