Berkaitan dengan ENTRY sebelum ini DI SINI Dr. Mohd Asri ada memberi sedikit komentar. Saya perturunkan dibawah. Sebagai bekas Mufti, beliau tentu tahu bagaiman perjalanan Majlis Agama dalam sesebuah negeri rasanya....
APA JADI DENGAN INSTITUSI AGAMA KITA?
Saya melihat laporan media (Malaysiakini) bertajuk “MAIWP mahu lupus 70 penghawa dingin baik”memerlukan perhatian yang amat serius. Perjelasan dan jawapan perlu diberikan oleh pihak berkenaan. Sejauh hal ini berlaku dan ketepatannya?
Sejak sekian lama saya dan beberapa orang lain menyebut tentang adanya perkara yang tidak kena dalam pengurusan harta dan kewangan badan-badan agama di negara ini. Ya, itu telah mengundang rasa tidak puas sesetengah pihak. Namun, kita terpaksa nyatakan. Apa tidaknya, berbilion wang zakat dan selainnya diperuntukkan untuk umat Islam, tetapi keadaan yang kita lihat terus menyayat hati, sehingga ada keluarga yang terpaksa hidup di bawah jambatan di KL seperti yang dilaporkan media baru-baru ini (Hidup Bawah Jambatan) . Ke mana pergi segala peruntukan ini. Kita kehairanan, wang zakat ratusan juta, namun si miskin terus menderita. Dapatan zakat berlipat-lipat, si miskin terus merempat. ‘Hantu’ manakah yang mencuri atau menipu wang zakat kita, sehingga yang berhak tidak memperolehinya? Tangan-tangan siapakah gerangan? Jembalang di hutan, atau lebai berserban? yang menggunakan nama syaitan, atau yang menggunakan nama Tuhan? Akhirnya wang umat Islam ketirisan dan kecurian.
Di sini, saya ingin menyebut beberapa perkara, antaranya;
1. Kita perlu memuhasabah semula fungsi zakat dalam negara ini. Sejauh manakah kejujuran, kesungguhan dan ketelusan pengurusan zakat dan selain zakat yang sepatutnya telah lama membangunkan umat Islam. Artikel saya pada tahun 2007 yang bertajuk: “Zakat Berbaki Atau Kita Kurang Bijak Membahagi” rasanya patut dianalisa.
2. Apa yang berlaku di Wilayah Persekutuan adalah isu didedahkan. Kita tidak tahu bagaimana keadaan pengurusan kewangan umat Islam di negeri-negeri lain. Apa yang kita pasti laporan kemiskinan yang menyayat hati terus wujud dipelbagi negeri, sementara kemewahan PUZ juga ternyata di pelbagai negeri. Adakah wujud kesungguhan untuk mereka membaiki keadaan umat Islam? Atau jangan sampai ada mereka yang mengambil kesempatan atas nama asnaf ‘amilin’ (petugas zakat), sedang tugasan tidak setara mana, tapi habuan yang diambil berlebihan.
3. Kewujudan kes-kes yang seperti ini mengikis keyakinan rakyat terhadap pengurusan atau integriti institusi-institusi yang berjenama agama. Ia akan menyebabkan rakyat berfikir mereka tidak patut menyerahkan urusan agama kepada institusi-institusi ini yang sentiasa terdedah kepada pelbagai persoalan yang meragukan.
4. Merubah institusi-institusi ini agar menjelma dalam peranan yang lebih berkesan dan baik amatlah sukar dan bukannya mudah. Ini kait mengait antara satu sama lain. Kepentingan politik, istana, individu dan berbagai lagi. Merubah pemerintahan secara keseluruhan mungkin satu percubaan yang boleh dibuat dalam membaiki keadaan ini. Itupun jika pasukan kerajaan baru mempunyai pemikiran yang bersih, jujur dan terbuka. Jika tidak, hal yang sama akan berulang.
Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
No comments:
Post a Comment