Pembangunan di tapak Penjara Pudu dikaji semula
August 18, 2010
KUALA LUMPUR, 18 Ogos — Pelan pembangunan di tapak Penjara Pudu di sini akan dikaji semula antaranya bagi memastikan kepentingan Bumiputera turut dijaga, kata Pengerusi UDA Holdings Bhd Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Selain itu, katanya, perkara yang perlu diambilkira dalam kajian semula itu adalah dari segi pasaran dan juga keupayaan dalaman Uda sendiri.
“Projek ini mungkin memakan masa selama 10 sehingga 15 tahun dan ia merupakan sebuah projek yang besar, justeru selain menjaga kepentingan Bumiputera terdapat perkara lain yang perlu juga diperhalusi semula,” katanya.
Nur Jazlan ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa Ancasa Hotel bersama 80 anak yatim dari Muassasah Darul Fuqaha di Bangi dan Baitu Saidati Khadijah, Gombak di sini semalam. Turut hadir ialah Pengarah Urusan UDA Datuk Jaafar Abu Hassan.
UDA Holdings sebelum ini dilaporkan akan merubah kawasan Penjara Pudu sebagai ikonik baru Kuala Lumpur yang bakal dikenali Pusat Bandar Bukit Bintang membabitkan kos RM5 bilion.
Projek yang meliputi kawasan seluas kira-kira 7.76 hektar itu akan dibangunkan dalam beberapa fasa membabitkan ruang niaga, menara pejabat, apartmen servis, hotel, pusat komersial dan rekreasi serta hab pengangkutan awam mini.
Nur Jazlan berkata pembangunan tersebut mungkin akan dimulakan pada suku pertama atau kedua tahun depan sejurus selepas pelan pembangunan baru tersebut diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ditanya sama ada gerbang utama penjara itu akan dirobohkan, beliau berkata gerbang tersebut terpaksa dirobohkan jika DBKL mahu melebarkan Jalan Hang Tuah.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya sedia berunding dengan pihak yang berminat untuk memindahkan struktur pintu gerbang bangunan itu ke tempat lain atas faktor sejarah.
Jun lepas, sebahagian tembok sepanjang 300 meter yang mengelilingi penjara berusia lebih 100 tahun itu dirobohkan bagi membolehkan kerja pelebaran dan laluan bawah tanah Jalan Pudu dilakukan. — Bernama
No comments:
Post a Comment