Perbuatan hina agama dan bangsa cermin kegagalan asuhan: Shabery
KEMAMAN - Sikap segelintir belia yang menggunakan laman blog dan facebook untuk menghina agama dan bangsa lain tanpa mempedulikan sensitiviti di negara ini dilihat antara lain berpunca daripada kegagalan asuhan di rumah.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, kecenderungan mencaci cerca bangsa serta agama lain dan gagal mengawal kemarahan membayangkan ada sesuatu yang tidak kena dalam cara mereka dibesarkan oleh ibu bapa di rumah.
"Sikap ini merupakan cerminan bagaimana sikap mereka di rumah kerana di sinilah mereka diasuh bagaimana untuk membawa diri dalam masyarakat, menyapa dan sebagainya.
"Secara langsung perkara ini juga menunjukkan tentang kegagalan sistem pembinaan karektor anak-anak itu sendiri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, demikian ketika diminta mengulas tentang kewujudan satu lagi akaun Facebook yang memaparkan komen-komen menghina Islam dan Allah sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.
Akaun yang didaftar dengan nama Katy Lim Li Lian itu dilapor telah ditutup dan tidak dapat dibuka, bagaimanapun beberapa laman blog telah memuatkan keratan komen daripada akaun itu.
Ekoran itu Gerakan Pemuda Prihatin Putrajaya membuat laporan polis mengenai perkara itu.
Ahmad Shabery berkata, semua pihak harus memainkan peranan dalam membentuk sahsiah peribadi remaja di negara ini dan bukan hanya mengharapkan kerajaan melalui sistem pendidikan.
Sebaliknya, ibu bapa dan masyarakat juga harus memain peranan dalam menerap semangat perpaduan dan hormat menghormati dalam hidup bermasyarakat pelbagai kaum di negara ini, katanya.
No comments:
Post a Comment