Isu azan: BN amal ‘double standard’, kata Tony Pua
January 18, 2011
KUALA LUMPUR, 18 Jan — Pemimpin Pakatan Rakyat, Tony Pua menyifatkan Barisan Nasional (BN) mengamalkan 'double standard' berhubung isu azan sebuah masjid di Lembah Pantai ekoran aduan yang dibuat oleh seorang ahli MCA akhir tahun lalu.
Pua (gambar), setiausaha publisiti kebangsaan DAP mempersoalkan sama ada BN akan memaafkan jika kontroversi itu, yang menjadi bahan protes minggu lalu, melibatkan ahli politik dari Pakatan Rakyat.
“Saya merasakan permohonan maaf itu perlu diterima. Saya tidak fikir perkara itu perlu dibesar-besarkan,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.
Justeru kata beliau, pada pihak Pakatan Rakyat soalnya bukan mengenai permohonan maaf dibuat oleh peguam yang membuat aduan tetapi sikap pilih kasih diamalkan Umno.
Katanya, memandangkan ia melibatkan wakil MCA, kes ditutup dengan cepat dan dipastikan agar tidak menjadi satu isu berpanjangan.
Petang semalam, ahli MCA berkenaan yang juga seorang peguam — Ng Kian Nam memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di negara ini atas kesilapannya meminta laungan azan sebuah masjid berhampiran kediamannya di kawasan Bukit Kerinchi di sini diperlahankan.
“Setiap orang mempunyai kelemahan dan saya mahu meminta maaf kepada semua umat Islam di negara ini di atas salah faham yang terjadi. Sebenarnya saya tidak tahu membezakan antara suara azan dan ceramah (kuliah subuh),” katanya pada sidang media turut dihadiri Ketua Umno Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
Sebelum sidang media itu, Raja Nong Chik mengadakan perbincangan tertutup dengan Ng, Pengerusi Masjid Al-Ikhlasiah Ikram Mohd Yusof dan wakil Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).
Dalam satu surat bertarikh 20 Disember 2010 kepada Jabatan Perdana Menteri, Ng, meminta supaya tindakan diambil bagi memperlahankan bunyi azan di Masjid Al-Ikhlasiah di Bukit Kerinchi itu kerana didakwa mengganggu tidurnya.
Ekoran itu, Perkasa dan Pekida telah mengadakan protes di pekarangan masjid berkenaan bagi mengecam tindakan Ng yang dikatakan telah menyentuh sensitiviti umat Islam.
Ng berkata beliau tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini berhubung isu itu serta berharap isu itu tidak disensasikan lagi.
Raja Nong Chik pula berkata isu itu sewajarnya tidak diperbesarkan kerana ia merupakan salah faham yang tidak disengajakan dan menjadikan insiden itu sebagai iktibar.
Bagaimanapun kata Pua, isu azan itu sudah pasti menjadi tajuk muka depan akhbar-akhbar dimiliki Umno khususnya Utusan Malaysia jika membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.
Katanya, Pakatan Rakyat juga sudah pasti dilabel sebagai tidak sensitif dan dipanggil sebagai rasis.
No comments:
Post a Comment