Pakatan pembangkang tidak sepakat tangani isu arak - MCA
KUALA LUMPUR 18 Jan. - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak sepakat dengan sekutunya iaitu Pas dan DAP dalam menyelesaikan isu larangan terhadap orang Islam bekerja di premis yang menyajikan arak.
Setiausaha Kehormat MCA Selangor, Wong Koon Mun berkata, kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu menyatakan pendirian sama ada mahu meneruskan larangan tersebut atau sebaliknya dan bukannya membiarkan DAP yang membuat keputusan tersebut.
"Sebelum ini Pas menyatakan sokongan untuk meneruskan larangan ini namun DAP bertindak mahu menarik balik larangan tersebut sekali gus menyebabkan PKR berdalih iaitu mahu mengkaji semula garis panduan tersebut.
"Keadaan ini jelas menunjukkan mereka tiada persefahaman untuk menyelesaikan isu arak ini sekali gus membuktikan mereka mempunyai haluan dan pendirian yang berbeza," katanya pada sidang akhbar di Pejabat MCA Petaling Jaya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Exco Selangor, Ronnie Liu yang mengarahkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menarik balik larangan kepada pekerja Islam untuk bekerja di premis yang menyajikan arak.
Ronnie dilaporkan mengesahkan pekeliling telah dikeluarkan kepada Yang Dipertua MPSJ, Md. Adnan Ikhsan untuk menarik balik larangan itu kerana mendakwa ia tidak disedari oleh kerajaan negeri.
Berhubung pendirian MCA terhadap larangan tersebut, Koon Mun berharap agar Kerajaan Pusat dapat menyediakan undang-undang tetap untuk menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin.
"Walaupun sebelum ini kerajaan negeri ada menyediakan garis panduan berhubung pekerja Islam menjual arak, namun ia masih tidak jelas," katanya.
Koon Mun juga berharap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertindak tegas bagi menyelesaikan isu itu memandangkan jabatan itu bertanggungjawab dalam hal-hal agama Islam.
No comments:
Post a Comment