Ditulis oleh BERNAMA
20/01/2011 Share
KUALA LUMPUR 20 JAN : Hutang isi rumah Malaysia yang berjumlah RM577 bilion pada November tahun lepas, masih pada paras berhemah, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.
Beliau berkata hutang isi rumah merupakan kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan pinjaman dan 74 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
"Walaupun ia mungkin kelihatan tinggi, namun satu perkara yang Malaysia ada,yang amat penting bagi institusi perbankan khususnya, ialah sistem maklumat rujukan kredit pusat.
"Walaupun kita ada baki kad kredit sebanyak RM1 sekalipun, nama kita akan ada dalam sistem ini, jadi semasa melakukan penilaian kredit, institusi perbankan boleh mengetahui obligasi kewangan seseorang peminjam," katanya kepada pemberita selepas melancarkan satu program pengurusan wang, "Pengurusan Wang Ringgit Anda (Power!)" di sini.
Program itu bertujuan memperkasa individu muda dan peminjam baharu dalam menguruskan kewangan mereka dengan berkesan, yang seterusnya akan menyumbang ke arah menggalakkan perlindungan yang lebih baik bagi pengguna kewangan dan memupuk sektor isi rumah yang lebih berdaya tahan.
Zeti berkata paras Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) masih rendah, dan NPL dalam sektor perbankan pada keseluruhannya adalah sebanyak dua peratus manakala bagi sektor isi rumah sebanyak 2.3 peratus.
"Pada masa ini, kita percaya peminjaman dalam sektor isi rumah berada pada paras berhemah, tetapi kita tidak mahu menunggu hingga kita ada masalah dan itulah sebabnya kita memperkenal program ini," tegasnya.
Kata Zeti keutamaan BNM ialah memastikan kedudukan hutang isi rumah beradapada paras berhemah, di samping memantau bank-bank dan memastikan tidak wujud amalan memberikan pinjaman secara berlebihan dan tidak bertanggungjawab.
"Bagi pengguna, kita akan memantau dengan teliti," katanya sambil menambah bahawa maklumat yang diberikan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan 60 peratus kes pengguna adalah yang berkaitan dengan masalah hutang isi rumah.
Sementara itu, program Power! dijangka melengkapkan individu dengan pengetahuan dan kemahiran kewangan amali serta alat membuat keputusan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak.
Ia merangkumi maklumat berguna dan petua untuk menggalakkan pengurusan wang berhemah dan disiplin kewangan.
No comments:
Post a Comment