RAUB: Serbuan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap aktiviti pembalakan haram di Hutan Simpan Tersang di sini pada Selasa turut menemukan mereka dengan kegiatan perlombongan emas haram di hutan simpan yang sama.
Operasi yang disertai oleh 10 pegawai penguatkuasa dari Putrajaya itu mula memasuki hutan simpan tersebut seawal pukul 8 pagi selepas menerima aduan daripada penduduk tempatan mengenai aktiviti-aktiviti haram berkenaan.
Kegiatan pembalakan haram itu dipercayai bermula sejak empat tahun lepas dan kawasan yang telah diceroboh adalah seluas 30 peratus dan di bawah pengetahuan agensi penguatkuasa terutamanya Jabatan Perhutanan.Ketika serbuan dilakukan, pasukan itu menemui seorang lelaki berusia 53 tahun sedang memotong kayu balak kepada potongan-potongan kecil bersama dua anak lelakinya.
Sumber SPRM berkata lelaki itu mendakwa dia mula menceroboh hutan itu sejak sebulan lepas dan kayu tersebut dijual kepada seseorang di ibu negara mengikut kadar permintaan dan saiz kayu yang dikehendaki.
"Kita telah mengambil maklumat ketiga-tiga suspek itu sebelum kita lepaskan mereka," katanya kepada pemberita selepas serbuan yang berakhir pukul 4 petang.
Beliau berkata siasatan awal menunjukkan terdapat tiga kumpulan utama yang terlibat dengan kegiatan pembalakan haram tersebut di mana setiap kumpulan dianggotai tiga hingga empat orang dan masing-masing pakar dalam cara pemotongan kayu yang dikehendaki pemborong kayu.
Serbuan itu juga menemukan pasukan SPRM dengan dua tan kayu cengal yang telah dipotong kepada saiz yang kecil di kawasan tiga suspek itu ditahan manakala lima hingga enam tan lagi ditemui bertaburan di kawasan tidak jauh dari situ. Harga yang dijual oleh pembalak haram adalah RM2,500 bagi satu tan metrik.
Sumber itu berkata berdasarkan siasatan, kira-kira 300 batang pokok cengal ditebang oleh kumpulan-kumpulan berkenaan dalam tempoh beberapa minggu ini.
"Kita kesal dengan renjer hutan yang menutup mata terhadap aktiviti haram yang telah bermula sejak empat tahun lalu sedangkan tugasnya adalah untuk memantau, membanteras melaporkan aktiviti yang tidak bermoral ini dan perkara ini akan kita siasat segera," katanya.
Beliau berkata adalah mustahil renjer hutan tersebut tidak mengetahui mengenai perkara itu memandangkan tugasnya adalah menjalankan pemantauan keadaandalam hutan simpan sekurang-kurangnya dua kali sebulan.
Sementara itu, pasukan itu turut menjumpai aktiviti perlombongan emas secara haram yang menggunakan kapal korek mini bernilai RM200,000 yang terletak 15 kilometer dari kawasan pembalakan haram terbabit.
Bagaimanapun, tiada sesiapa yang ditahan kerana mereka dipercayai tidak beroperasi pada hari cuti umum. -BERNAMA
No comments:
Post a Comment