Waktu pagi dan petang waktu harimau keluar mencari makan dan penoreh amat berisiko menjadi mangsa harimau. Memang diharap sangat perhilitan dapat merangka plan untuk memerangkap harimau tersebut secepat mungkin. Anggaran harimau liar di hutan Malaysia di bawah 500 ekor akibat kehilangan habitat dan pemburu haram yang selain memburu harimau untuk menjual dipasaran gelap, juga memburu mangsa harimau dan menyebabkan harimau kekurangan mangsa seperti babi-rusa, rusa sambar, kijang dan sebagainya. Harimau di Malaysia bukan seperti harimau Suburdan, Bangladesh yang kerap menyerang dan makan orang tetapi jika makanan kurang - ternakan akan mula menjadi mangsa. Kita kena ketahui bahawa harimau akan mula mencari ternakan dan akhirnya menjadikan manusia mangsa akibat harimau tersebut lemah mungkin akibat kecederaan atau sudah tua.
BALING - Penduduk di Kampung Telok Teduri dan Kampung Tengah di sini, kini hidup dalam kebimbangan dan tidak berani untuk menoreh getah apabila ada penduduk di kawasan itu terserempak dengan harimau sejak beberapa minggu lalu.
Penduduk beberapa kali pernah terdengar ngauman harimau dari kebun getah di kawasan Bukit Tok Lipan menyebabkan mereka juga bimbang untuk keluar di waktu malam.
Kemunculan harimau yang didakwa penduduk kampung baru beranak itu turut disahkan dengan penemuan tapak kaki harimau itu di sekitar kebun getah dan sepanjang denai menuju ke kebun getah di kawasan itu.
Selain itu, penduduk mendakwa mereka terhidu bau bangkai dipercayai bangkai lembu yang dibaham harimau itu baru-baru ini.
Penoreh getah, Halim Khamis, 53, berkata, beberapa orang penoreh getah mendakwa pernah terserempak dengan haiwan itu di kawasan kebun getah di situ sejak beberapa minggu lalu.
Beliau mahu pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) melakukan sesuatu bagi menghalau harimau itu dari kawasan terbabit.
"Jika tiada usaha diambil, kami bimbang ada penduduk di sini akan menjadi mangsa harimau itu, terutama kami yang sering ke kawasan kebun getah di situ untuk menoreh getah," katanya, dan menambah kata bahawa ada penoreh getah yang sudah beberapa minggu tidak menoreh kerana bimbang terserempak dengan harimau itu.
Seorang warga emas di kampung itu, Lateh Salleh, 72, mengakui pernah baberapa kali terdengar ngauman harimau dari arah belukar Bukit Tok Lipan, baru baru ini.
"Suara ngauman itu dapat didengar jelas pada waktu pagi dan petang " katanya kepada Bernama.
Penduduk Kampung Tengah, Ramli Ahmad, 60, berkata, sejak akhir-akhir ini lembu yang berkeliaran di kawasan kampung itu tidak berani menghampiri belukar, terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya yang dipercayai menjadi tempat persembunyian harimau itu.
"Setiap malam sejak beberapa minggu ini kami bimbang untuk berada di luar rumah bimbang terserempak dengan harimau itu," katanya.
No comments:
Post a Comment