Gunung Merapi ragut 240 nyawa
KEPUHARJO 13 Nov. - Gunung berapi paling aktif di Indonesia, Merapi telah menyebabkan 240 nyawa terkorban sejak mula meletus pada bulan lepas dan hampir 400,000 penduduk mencari perlindungan di kem-kem penempatan sementara.
Pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk yang berlindung di kem itu supaya jangan pulang ke rumah mereka kerana Gunung Merapi masih sangat aktif dan sukar diramalkan.
"Kami tidak tahu dan tidak dapat meramalkan letusan besar akan datang, kerana itu pelarian masih perlu tinggal di kem sementara sehingga penilaian lanjut dilakukan," kata pakar gunung berapi kerajaan, Subandrio.
Seorang pegawai pengurusan bencana berkata, angka kematian kini meningkat kepada 240 orang selepas pasukan pencari dan penyelamat menemui lebih banyak mayat di zon bencana, manakala kira-kira 390,000 penduduk telah meninggalkan rumah mereka.
Kebanyakan mangsa maut akibat terkena aliran deras gas dan batu panas yang membakar kampung-kampung apabila Merapi meletus pada 5 November dalam letusan terbesarnya sejak lebih seabad lalu.
Gunung itu menghamburkan awan panas selama sejam malam tadi, merebak sejauh 10 kilometer dari kawahnya.
Subandrio berkata, beberapa pakar gunung berapi Jepun berada di kawasan Merapi untuk membantu memantau aktiviti gunung tersebut.
Mereka akan memasang beberapa 'sensor infrasonik' yang boleh memantau tekanan udara berpunca daripada letusan.
"Sensor itu akan diletakkan sekitar 20 kilometer dari kawah dan akan meningkatkan keupayaan kami untuk memantau aktiviti Merapi," kata Subandrio. - AFP
No comments:
Post a Comment