Setiap kali pilihanraya kecil diadakan kita amat maklum BN akan menggunakan segala jentera kerajaan yang ada seperti ianya jentera BN. apakah PR akan menggunakan taktik yang sama? Adakah menteri-menteri akan menggunakan kenderaan persendirian atau kenderaan yang dibiaya oleh kerajaan?
Bagaimana pula dengan peruntukan yang melimpah ruah? Walau terdapat kegusaran dimanakah wang tersebut terhasil sedangkan dikatakan negara tiada berwang - bukan beruang.
Hakikatnya PRK memberi keuntungan yang tidak sedikit kepada rakyat yang terlibat secara langsung atau tidak langsung seperti jambatan baru, jalanraya baru dan pelbagai lagi. Semoga ianya tidak dijadikan punca dan asbab untuk para pengundi berdoa agar MP atau ADUN mereka cepat 'bersara' untuk mendapat peruntukan segera tersebut.
Dengan PRK MERLIMAU dan mungkin PELABUHAN KELANG yang bakal datang ini saya mengesyorkan PAKATAN RAKYAT meletakkan calon untuk bertanding tetapi tidak perlulah bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kemenangan bagi kerusi tersebut. Jika di Melaka (Merlimau) adakah akan berubah kerajaan negeri dengan pertambahan satu kerusi? Di Pelabuhan Kelang, PR akan masih mentadbir Selangor walaupun kalah.
Jadikanlah PRK sebagai laluan untuk memperkenalkan calon dan sebolehnya calon tersebut dikekalkan pada PRU akan datang. Selain itu ianya mungkin membantu 'melekakan BN' dengan kemenangan palsu. PR harus tetap menggunakan peluang tersebut untuk memperkenalkan manifesto/buku jingga dan bukannya khusus kepada PRK tersebut semata-mata.
Kesimpulannya : PRK hendaklah dijadikan matlamat berikut:
1 - Memperkenalkan calon ataupun bakal calon untuk PRU dan melihat respon dari masyarakat setempat.
2 - Peluang memperkenalkan buku Jingga dan manifesto Pakatan Rakyat.
Biarkan BN bersorak sorai dengan kemenangan palsu dimana kita harus ingat matlamat utama adalah Putrajaya. Kadangkala kita alpa dengan matlamat untuk mengambil alih tampuk kepimpinan Persekutuan dan memberi tumpuan yang tidak sepatutnya terhadap PRK. Ini adalah pendapat peribadi dan pemerhatian saya semata-mata.
No comments:
Post a Comment