SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri: Dr Mohamad Khir Toyo diberi tempoh sehingga 3 Disember depan untuk memfailkan jawapan terhadap afidavit pembelaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim berhubung satu kes saman fitnah.
Peguam, M Manoharan yang mewakili Suee Lim (defendan) memberitahu media, semalam, mahkamah memberikan arahan kepada peguam Mohamad Khir, M Athimulan supaya memfailkan fakta dan isu-isu berkaitan saman itu.
Menurutnya, Mohamad Khir (plaintif) belum mengambil sebarang tindakan selepas pihaknya memfailkan pembelaan terhadap samannya pada 26 Mac lalu.
"Setakat ini beliau belum memfailkan jawapan setelah defendan memfailkan pembelaan," katanya di perkarangan mahkamah, selepas kedua-dua pihak bertemu Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, Mankiranjit Kaur, di sini, semalam.
Pada 25 Oktober lalu, mahkamah mengeluarkan notis tunjuk sebab supaya Mohamad Khir supaya hadir ke mahkamah bagi memberi penjelasan mengapa samannya itu tidak boleh dibatalkan memandangkan beliau tidak mengambil sebarang tindakan selepas tujuh bulan Suee Lim memfailkan pembelaan itu.
Manoharan berkata, Mankiranjit menetapkan 3 Disember depan bagi pengurusan kes sama ada saman itu akan dibatalkan atau Mohamad Khir diberi peluang meneruskannya.
Pada prosiding semalam, Mohamad Khir tidak hadir sementara Suee Lim hadir bersama penyokongnya.
Pada 7 Januari lalu, Mohamad Khir memfailkan saman fitnah dengan tidak dinyatakan jumlah atas dakwaan Suee Lim memfitnahnya berhubung isu banglo mewah di Seksyen 7, Shah Alam dalam akhbar The Star pada 7 Julai 2009.
Mohamad Khir menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk selain memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya daripada terus mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya.
No comments:
Post a Comment