Mahkamah Tidak Boleh Masuk Campur Urusan DUN Perak, Kata Mahkamah Rayuan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh campur tangan dalam hal yang berlaku semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, termasuk soal berhubung penyingkiran V.Sivakumar sebagai Speaker.
Hakim Datuk Abdul Malik Ishak berkata apa yang berlaku pada 7 Mei tahun lepas di DUN Perak, termasuk penyingkiran Sivakumar sebagai Speaker dandigantikan oleh Datuk R. Ganesan, adalah sah dan dibuat berdasarkan undang-undang.
Beliau berkata sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan ialah Dewan itu mempunyai kuasa atau bidang kuasa untuk memilih atau memecat Speaker dan isu siapa yang dilantik secara sah sebagai Speaker adalah terletak di luar bidang kuasa mahkamah untuk membuat penghakiman mengenainya berdasarkan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan.
"Sebarang relief yang diberi kepada Sivakumar akan membawa erti merampas kuasa Dewan," kata Abdul Malik dalam penghakimannya setebal 49 muka surat bertarikh 20 Ogos, yang diedarkan kepada media, Jumaat.
Pada 22 Jun tahun ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Abdul Malik, menolak rayuan Sivakumar untuk mengekalkan saman sivilnya terhadap Ganesan berhubung perbuatan menyerang, memukul dan menahan secara salah.
Sivakumar mengambil tindakan undang-undang terhadap Ganesan susulan kepada persidangan DUN berkenaan pada 7 Mei tahun lepas di mana beliau mendakwa dia dipegang secara kasar, diheret dan dibawa keluar dari dewan persidangan atas perintah Ganesan ketika beliau mempengerusikan persidangan dewan itu di Bangunan Perak Darul Ridzuan, sebagai Speaker yang sah.
Sivakumar mendakwa pada hari berkenaan iaitu selepas dewan membuat ketetapan memecatnya sebagai Speaker, Ganesan memerintahkannya kembali duduk di kerusi yang disediakan untuk ADUN Tronoh dan apabila beliau tidak mematuhi perintah itu, Ganesan memerintahkan Bentara Dewan mengalihnya daripada duduk di kerusi Speaker dan ini menyebabkan berlaku pergelutan.
Dalam penghakimannya Abdul Malik berkata, tindakan Ganesan di Dewan berkenaan dibuat sebagai Speaker yang sah dalam melaksanakan tugas dantanggungjawabnya, sejajar dengan kuasa yang diberi kepadanya berdasarkan Undang-undang Tubuh Negeri Perak, perintah tetap dan amalan parlimen.
Hakim itu berkata ia merupakan perkara berkaitan prosiding dalaman dewan berkenaan yang tidak boleh dicampuri oleh mahkamah dan Sivakumar tidak boleh mencabar sah atau tidak prosiding Dewan itu.
Katanya tindakan Ganesan pada hari itu bertujuan memelihara peraturan dan ketenteraman di Dewan berkenaan berikutan tingkah-laku buruk Sivakumar yang menghalang atau mengganggu perjalanan Dewan itu.
Abdul Malik berkata mahkamah membuat kesimpulan bahawa dakwaan yang dibuat oleh Sivakumar adalah sesuatu yang remeh kerana beliau tidak dapat mengenal pasti penyerangnya.
"Dalam percubaan terdesak untuk menyelamatkan kapal yang hendak tenggelam, plaintif (Sivakumar) bergantung pada mesyuarat yang diadakan di bawah pokok pada 3 Mac 2009 dan mendakwa ia adalah persidangan Dewan. Kami membuat keputusan bahawa pendapat seperti itu adalah tidak berasas sama sekali dan sesuatu yang menyusahkan sahaja," katanya.
Beliau berkata mahkamah memutuskan bahawa apa yang dianggap sebagai mesyuarat di bawah pokok itu sebenarnya bukan suatu persidangan seperti yang disyaratkan oleh Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan Perintah Tetap.
"Sebanyak 31 perisytiharaan berkanun dibuat oleh ADUN Perak, yang kesemuanya mengesahkan bahawa plaintif (Sivakumar) disingkirkan sebagai Speaker DUN berkenaan dan defendan (Ganesan) pula dipilih sebagai Speaker Dewan itu.
"Apa jua yang dilakukan defendan pada 7 Mei 2009 selepas dipilih sebagai Speaker mestilah diterima sebagai hak istimewanya. Defenden dilindungi oleh imuniti," katanya.
Beliau berkata oleh itu, Mahkamah Tinggi bertindak betul apabila menolak saman Sivakumar. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment