Seramai 149 Bayi Dibuang Dari 2009 Hingga Ogos Lalu
KUALA LUMPUR: Seramai 149 bayi dibuang oleh ibu bapa mereka dari tahun 2009 sehingga Ogos lalu, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie.
Daripada jumlah itu, 83 telah meninggal dunia manakala 66 bayi lagi masih hidup.
“Daripada jumlah tersebut, 59 bayi itu adalah lelaki dan 54 lagi adalah perempuan. Jantina bagi 36 lagi bayi tidak dapat dipastikan memandangkan keadaan mayat yang telah reput,” katanya menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) di Dewan Rakyat pada Rabu.
Heng yang menjawab soalan tambahan Mohd Jidin berkata, bangsa dan kewarganegaraan bayi-bayi tersebut tidak dapat ditentukan memandangkan warna kulit rakyat Malaysia adalah hampir sama.
Beliau menambah, kementerian mengambil pendekatan kepada konsep untuk cuba membantu ibu muda yang bermasalah, berbanding menghukum mereka.
Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) kemudiannya menyoal apakah pihak kementerian berhasrat untuk menjejaki bapa kepada bayi malang tersebut untuk sama-sama bertanggungjawab terhadap kesalahan itu.
“Pihak polis sedang mengkaji kemungkinan tindakan tersebut,” jawan Heng.
Terdahulu, Heng menyatakan pihaknya menyediakan tempat perlindungan kepada remaja dan wanita yang mengandungkan anak luar nikah supaya mereka bersalin dengan selamat sebagai langkah untuk mencegah masalah pembuangan bayi.
“Institusi yang diberi kebenaran oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan rumah perlindungan kepada ibu-ibu muda ini,” katanya.
Beliau menambah, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga juga menyediakan program seperti kaunseling, bengkel interaktif, program kesedaran dan aktiviti-aktiviti untuk memperkukuhkan nilai kekeluargaan.
“Empat institusi Taman Seri Puteri juga menyediakan rumah perlindungan dan pemulihan kepada remaja berusia bawah 18 tahun yang hamil luar nikah.
“Dua pusat Sinar Kasih diwujudkan untuk remaja bawah 18 tahun yang memerlukan perlindungan segera,” katanya.
Heng menambah, pihak kementerian juga menyediakan 55 institusi kebajikan, 104 pejabat kebajikan sosial daerah dan 55 klinik Nur Sejahtera yang tersedia untuk memberi perlindungan kepada bayi.
Beliau menambah, tanggungjawab untuk mengatasi masalah ini tidak hanya terletak di tangan kementerian semata-mata.
“Kerjasama daripada agensi kerajaan lain seperti Jabatan Agama, Kementerian Kesihatan dan juga badan bukan kerajaan penting untuk mengatasi masalah ini,” tambahnya.
No comments:
Post a Comment