Pembangkang tidak serius: Rahim
ALOR GAJAH - Sikap pembangkang tidak menunjukkan kesungguhan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja di Damansara Utama sebelum ini, ternyata mengecewakan banyak pihak, terutama rakyat.
Veteran UMNO, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, pembangkang nampak tidak serius dengan masalah murtad membabitkan umat Islam yang dilihat semakin membimbangkan.
“Mereka seperti tidak berminat untuk mengambil tahu tentang isu serbuan di gereja terbabit, walaupun seramai 12 orang yang beragama Islam dikesan menghadiri majlis tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian di program Menghayati Ramadan dan penyampaian sumbangan kepada Ibu-ibu Tunggal Seri Mastana di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah semalam.
Beliau meminta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan mana-mana jabatan berkaitan berperanan lebih tegas dalam bertindak memantau keadaan yang boleh memecahbelahkan umat Islam.
Bekas ketua menteri Melaka itu memuji keberanian Exco Agama Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang berpendirian tegas menyokong tindakan Jais dalam melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas gereja terbabit.
“Keberanian beliau perlu dicontohi ahli Pas lain supaya mereka tahu pentingnya isu ini kerana membabitkan akidah umat Islam. Malah, isu memurtadkan umat Islam di negeri Selangor bukan sesuatu baru.
“Tetapi pembangkang dilihat lebih berminat meraih undi semata-mata supaya kekal berkuasa, sedangkan mereka gagal pertahankan kepentingan umat Islam kerana soal akidah adalah sesuatu yang sensitif,” katanya.
No comments:
Post a Comment