Followers

Klik Sekali

All Year Round Sales - Jualan Murah

Anda Mencari Sesuatu?

KLIK AJER DI SINI

Related Posts with Thumbnails

Tuesday, May 10, 2005

Islam Satu Cara Hidup - Petikan Khutbah Jumaat

Bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana kita dipilih untuk menjadi seorang muslim daripada sekian ramai penghuni alam ini. Firman Allah S.W.T.
“Wahai Muhammad! engkau tidak mampu untuk memberi hidayat kepada sesiapapun yang engkau cintai tetapi Allah S.W.T. menganugerahkan hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya.”

Sebesar-besar nikmat anugerah Allah kepada kita adalah nikmat Iman dan Islam. Islam adalah bukan sekadar “agama” yang dihayati dan dipraktikkan dalam upacara-upacara tertentu dan bukan juga “agama” yang terbatas kepada tempat-tempat tertentu, bahkan Islam sebenarnya adalah cara hidup. Setiap urusan hidup mestilah diserasikan dengan Islam.

Islam adalah cara hidup yang tidak boleh dan tidak akan serupa dengan agama agama lain. Tidak serupa dengan kristian, budha, hindu dan sebagainya. Hanya sanya agama Islam sahaja yang diiktiraf oleh Allah, manakala agama lain adalah tidak benar belaka.
Firman Allah
“Sesungguhnya agama (cara hidup) yang benar di sisi Allah S.W.T. hanyalah Islam semata-mata”
Sesiapa yang mencorakkan gaya hidupnya dengan acuan lain daripada acuan Islam, sebenarnya telah mensia-siakan hidupnya samada hidupnya di dunia mahupun di akhirat.
Firman Allah S.W.T.:-
“Barangsiapa yang mencari selain daripada Islam sebagai cara hidupnya tidak akan diperakui dan tidak akan diakui oleh Allah dan akan termasuk ke dalam orang-orang yang rugi di akhirat kelak”
Islam tidak memadai dengan nama yang tertera di kad pengenalan sebagai orang Islam juga tidak memadai dengan hanya berdasarkan keturunan.
DEFINISI ISLAM
Penyerahan diri yang tidak hanya terbatas kepada gerak laku anggota zahir sahaja tetapi juga merangkumi amalan batin, merangkumi jasmani dan rohani, aqal dan perasaan, jiwa dan hati kepada Allah. Penyerahan ini tidak terbatas kepada sudut-sudut tertentu sahaja tetapi merangkumi segala ruang lingkup kehidupan manusia.
KEISTIMEWAAN ISLAM
1. Islam datang daripada Allah Yang Maha Tahu dan Yang Maha Bijaksana. Apabila ia datang daripada Allah S.W.T. maka ajaran dan cara hidup Islam tidak mempunyai kecacatan dan kekurangan.
2. Islam adalah cara hidup yang sempurna. Setiap aktiviti manusia tidak lepas dari penilaian hukum Islam sama ada wajib, sunat, haram, makruh, harus, sah atau batal.
3. Islam adalah cara hidup yang sesuai setiap ketika dan keadaan, tidak terhad kepada zaman tertentu sahaja, sesuai untuk dipraktikkan oleh manusia tidak kira tempat sama ada Tanah Arab atau Tanah Melayu.
4. Islam adalah satu cara hidup yang menjanjikan balasan baik kepada penganutnya yang taat kepada cara hidup acuannya manakala balasan buruk pula akan menjadi habuan kepada mereka yang tidak menserasikan gaya hidupnya dengan acuan Islam. Pembalasan itu sama ada di dunia ataupun di akhirat. Namun Allah S.W.T. yang bersifat Maha Pemurah dan Maha
Penyayang menawarkan pakej “taubat” untuk mereka yang terlanjur supaya diampuni oleh Nya.
5. Islam adalah satu cara hidup yang tidak “membunuh” naluri semula jadi manusia malah Islam membimbing naluri tersebut ke arah yang betul. Manusia sukakan kekayaan, Islam membimbing bagaimana kekayaan itu diperolehi dan dibelanjakan, manusia suka berhibur, Islam datang membawa garis panduan hiburan yang dibenarkan, begitu juga dengan keinginan manusia terhadap seks, sukan, berpakaian, semuanya telah ditentukan garis panduannya
oleh Islam.
RUANG LINGKUP CARA HIDUP ISLAM
1. Islam dengan segala keistimewaannya, perlu dipraktikkan dalam 4 bidang pokok dan asasi di dalam kita iaitu:-
i. Bidang Aqidah - Beriman kepada Allah
- Beriman kepada Malaikat
- Beriman kepada Rasul
- Beriman kepada Kitab
- Beriman kepada Hari Qiamat
- Beriman kepada Qadha’ dan Qadar.
ii. Bidang Ibadah - Solat
- Puasa
- Zakat
- Haji
- Membaca Al-Quran
- Menuntut ilmu dan sebagainya
iii. Bidang Akhlak - Adab bercakap
- Adab berhibur
- Adab bersukan
- Adab bersahabat dan sebagainya
iv. Bidang perundangan dan syariat
CONTOH CARA HIDUP ISLAM YANG SERING DIABAIKAN
1. Selain daripada kewajipan-kewajipan yang tidak dapat tidak mesti dilakukan oleh setiap muslim seperti solat lima waktu, puasa dalam bulan Ramadhan, taat kepada ibu bapa ada beberapa aspek kehidupan yang sering berlaku di luar acuan Islam atau setidak-tidaknya ramai akan menyoal “Bagaimana yang dikatakan bersukan cara Islam? Bagaimana berpakaian cara Islam atau berhibur cara Islam?
BERSUKAN MENURUT CARA ISLAM
1. Islam lebih menyayangi penganutnya yang kuat lagi cergas daripada umatnya yang berpenyakit, malas dan lembik. Aqal yang sihat terletak pada tubuh badan yang sihat.
2. Permainan kita dianggap berpahala oleh Allah S.W.T. apabila perkara-perkara tersebut diraikan:-
i. Matlamat kita bermain adalah supaya badan kita sihat seterusnya kita mampu beribadat kepada Allah S.W.T.
ii. Permainan kita tiada unsur-unsur perjudian.
iii. Kemenangan atau kekalahan bukanlah semata-mata matlamat sebaliknya kesihatan dan ukhuwah diutamakan.
iv. Berpakaian menutup aurat dan tiada percampuran lelaki dan perempuan.
v. Permainan tidak dicemari dengan kata-kata lucah.
vi. Tidak mengabaikan suruhan agama dan kewajipan dunia seperti menunaikan solat dan menuntut ilmu.
BERHIBUR MENURUT CARA ISLAM
1. Islam menegah umatnya sentiasa dalam keadaan murung dan sedih.
2. Berhibur menurut cara Islam dikira berpahala jika
i. Hiburan yang tidak ada unsur-unsur lucah, menghina agama, menaikkan syahwat’ dan memuja agama lain dan lain-lain.
ii. Hiburan yang tidak melalaikan dari mengerjakan suruhan kewajipan agama.
iii. Hiburan yang tiada percampuran lelaki dan wanita yang tiada batas, pendedahan aurat.
iv. Hiburan yang tidak melalaikan dari mengerjakan kewajipan dunia.
v. Tiada berlaku pengagungan artis.
BERSAHABAT MENURUT CARA ISLAM
1. Setiap muslim mesti hidup bermasyarakat. Hidup bersahabat dalam Islam mesti dalam lingkungan yang dibenarkan oleh syara’ iaitu:-
i. Bergaul dengan rakan-rakan yang baik akhlak dan taat beragama.
ii. Jauhilah dari bersahabat baik dengan rakan-rakan yang mendorong kepada perkara maksiat.
iii. Carilah rakan-rakan yang boleh berkongsi suka dan duka.
BERPAKAIAN MENURUT CARA ISLAM
1. Sebagai cara hidup yang lengkap, Islam juga mengatur penganutnya cara berpakaian iaitu:-
i. Menutup aurat
ii. Tidak berpakaian ala-perempuan / ala-lelaki.
2.. Dalam soal berpakaian Islam amat menitik beratkan agar pakaian kita menggambarkan kita sebagai muslim.
BERTUTUR MENURUT CARA ISLAM.
1. Dalam pertuturan, Islam menitik beratkan perkara-perkara berikut:-
i. Perkataan yang bermanafaat
ii. Tidak lucah, kotor dan keji
iii. Istilah yang sopan dan mudah difahami
iv. Menggunakan nada yang sesuai dengan suasana
v. Tiada unsur-unsur pembohongan, fitnah umpatan dan sebagainya.

Demikianlah contoh-contoh sudut kehidupan yang sering kita terlupa bahawa
sudut-sudut itu perlu diserasikan dengan Islam dan tidak terasing daripadanya.
PENUTUP
Islam adalah cara hidup yang mencukupi seluruh bidang kehidupan. Ajaran-ajaran Islam adalah dalam bentuk kesepaduan yang sempurna. Ia mesti diterima seluruhnya dan tidak boleh dipecah-pecahkan, diterima sebahagian dan ditolak sebahagian yang lain.
Segala cabang ajaran Islam dalam kesatuannya dapat diumpamakan sebagai tubuh badan manusia. Tidak dinamakan manusia jika kakinya kaki kambing, kepalanya kepaLa harimau. Jika mahu dinamakan manusia maka seluruhnya hendaklah anggota manusia.

No comments:

Cerita Dolu Dolu