“Hanya indah khabar dari rupa” SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikatakan menjunjung prinsip demokrasi dan ketelusan tidak terlepas daripada insiden kekecohan semasa proses pemilihan jelas menggambarkan parti tersebut hanya ‘indah khabar dari rupa’. Tambahan pula, pemimpin tertinggi PKR sebelum ini sering melaung-laungkan pemilihan parti mereka adalah yang terbaik dan contoh proses demokrasi sebenar serta patut menjadi ikutan parti-parti lain terutamanya UMNO dan Barisan Nasional (BN). Kekecohan yang berlaku semalam pada beberapa pemilihan peringkat cabang semalam didakwa bermula dari kertas undian yang sudah diisi, malah terdapat aduan dari calon yang berang kerana nama tercicir sedangkan sudah mengisi borang pencalonan sejak awal lagi. Pemilihan yang sepatutnya dijalankan secara harmoni akhirnya bertukar menjadi kacau-bilau apabila ada beberapa ahli yang tidak berpuas hati mula bertindak liar dengan membaling kerusi, memulaukan pemilihan dan sebagainya. Ditambah pula kelemahan pemantau dan pegawas pemilihan menyebabkan mesyuarat di beberapa cabang tidak dapat berjalan dengan lancar. Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, PKR adalah sebuah parti baru dan percubaan mereka mengadakan konsep ‘satu ahli satu undi’ adalah amat baik tetapi memerlukan badan pemantau yang kukuh dan berkesan. Menurutnya, parti itu perlu bersedia lebih awal dengan tenaga manusia yang cukup dan terlatih serta mempunyai garis panduan yang jelas sebelum melaungkan pemilihan mereka adalah proses demokrasi sebenar. “Kalau tiada kawalan pasti terjadi kekecohan, jadi mereka tidak perlu berkata merekalah terbaik kerana jelas sekarang ia hanyalah retorik politik semata-mata,” katanya, semalam. Selain itu, Ahmad turut menegur sikap sesetengah pemimpin PKR yang menganggap menjadi ketua adalah satu tugas mudah sedangkan ia sebenarnya memerlukan pengalaman dan kebijaksanaan. “Sepatutnya kekecohan ini boleh dielakkan jika semua orang berpegang kepada prinsip dan tidak bermain kotor, jangan berfikir mudah untuk menang semasa pemilihan parti, sebenarnya ia sukar. “Oleh itu jangan mengutuk parti lain, cerminkan diri dahulu, seperti pepatah paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih,” katanya. Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir menyifatkan insiden kekecohan membuktikan pemilihan PKR kali ini petanda terdapat pertarungan yang amat sengit di kalangan pemimpin akar umbi. Katanya, kekecohan seperti ini sedikit sebanyak akan menjejaskan tanggapan rakyat terhadap PKR yang dikatakan pendukung demokrasi dan ketelusan berbanding parti politik lain di negara ini. “Punca kekecohan ini jelas mengetepikan adat dalam demokrasi, mereka menggunakan konsep matlamat menghalalkan cara dan perkara ini tidak seharusnya terjadi dalam PKR. “Kekecohan ini pasti menjadi pukulan hebat kepada pemimpin mereka kerana selama ini mereka melaungkan ketelusan dalam pemilihan,” katanya. |
4 penuntut IPT ditahan disyaki edar dadah
11 minutes ago
1 comment:
salam,
mohon dilinkkan ke bloglist tuan atau tukar ke url baru seperti berikut>
http://al-brangionline.blogspot.com kerana blog lama al-brangi kena serang malware.
terima kasih banyak2.
Post a Comment