Majikan perlu lapor Perkeso dalam tempoh 48 jam
2 April 2012
KOTA TINGGI – Setiap kemalangan yang berlaku terhadap pekerja, majikan perlu melaporkannya ke Perkeso dalam tempoh 48 jam sebelum tindakan undang-undang dikenakan, kata Pengarah Perkeso negeri, Ismail Abi Hashim.
“Kita juga faham jika majikan mengalami masalah namun jangan sampai masalah tersebut menyebabkan pekerja terbeban. Malah majikan juga boleh dikenakan tindakan jika tidak menjalankan tanggungjawab tersebut.
“Jika kes tersebut dilaporkan, kita boleh siasat dan seterusnya membantu dari segi bayaran serta bantuan peralatan yang bersesuaian agar dapat meringankan beban mereka yang terlibat,” katanya
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyerahan bantuan bencana kerja kepada Mohammad Nor Johar, 30, yang telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panti, Datuk Baderi Dasuki.
Dalam pada itu, Ismail turut memohon khususnya kepada kepimpinan masyarakat setempat tampil melaporkan sebarang kejadian kemalangan kerana terdapatnya kes-kes tertentu yang tidak dilaporkan oleh majikan.
“Walaupun pegawai kita juga turut sama melakukan siasatan dan lawatan, namun ada di antara kes perlu dilaporkan terus kepada Perkeso.
“Ini kerana pihak kami pernah menjumpai kes-kes sebegini yang tidak dilaporkan. Di sinilah perlunya masyarakat memainkan peranan mereka," katanya.
Terdahulunya, Mohammad Nor kini hilang upaya selepas terlibat dengan kemalangan di Jalan Lombong, Kota Tinggi ketika hendak pergi ke tempat kerjanya.
Dia yang baru sahaja bekerja sebagai pengawal keselamatan turut terlantar tidak sedarkan diri selama 40 hari sebelum menerima bantuan daripada pihak Perkeso.
Ayah kepada dua anak berusia satu setengah tahun dan juga enam tahun itu turut menerima bantuan wang bernilai RM3,224 serta bantuan peralatan.
No comments:
Post a Comment