Followers

Klik Sekali

All Year Round Sales - Jualan Murah

Anda Mencari Sesuatu?

KLIK AJER DI SINI

Related Posts with Thumbnails

Tuesday, April 15, 2008

Coret coret selepas Pilihanraya

Sudah lebih satu bulan aku tak update blog aku ni. Bermakna dah lebih sebulan jugaklah pilihanraya berakhir dan sekarang sibuk untuk melaksanakan manifesto-menifesto. Walaupun dalam surat khabar masih kecoh dengan pelbagai isu. Dari Black 14 hingga kes babi.
Aku ingin mengimbas kembali apa yang telah berlaku dalam tempoh pilihanraya. Aku membantu parti sebagai PACA. Menjaga saluran 3 tidak memberi masalah besar. Dalam tempoh berkempen hingga seminggu sesudah pilihanraya aku tak balik kerumah mama. Rumah mama aku jadi markas BN, aku pulak pasang poster Barisan Rakyat kat kereta. Heh heh heh. . . . kang kecik hati mama aku pulak kang.
Bak kata orang rumah, biar di buang kerajaan jangan di buang mak mertua. Sesudah seminggu baru balik ke rumah mama dan banyak lah cerita yang aku beritahu kepada mama aku yang cuma terdedah kepada MSM dan RTM serta TV3 sahaja. Cerita belakang tabir yang terang lagi bersuluh aku terangkan satu persatu kepada mama aku. Walaupun mama aku sebelum tu sibuk call adik aku sebab kes gambar protes ambil alih tanah Sekolah Agama (gambar mama aku kat depan) di tampal di markas PAS. Mama aku dok kata PAS sabotaj dia. Aku dengan adik aku pakat gelak aje lah. . . . .
Beberapa hari sesudah itu, aku sempat berborak dengan dreber lori syarikat - atau lebih tepat dreber lori tu bertanya fasal pilihanraya kepada aku. Dia tidak mendaftar mengundi dan tak pernah mengundi sebab dia rasa tak ada sebab atau tak tau kenapa dia perlu mengundi.
Aku memberi penerangan kepadanya sebagai individu dan bukan sebagai seorang ahli parti.
Kenapa aku mengundi? Aku mengundi kerana melaksanakan hak aku sebagai rakyat. Aku juga mengundi untuk generasi akan datang bukan untuk aku semata-mata iaitu untuk anak cucu aku. Dan aku juga mengundi Pakatan Rakyat kerana aku rasa keperluan untuk berubah.
Aku dapati negara semakin banyak masalah dan mengusarkan aku. Paling menjadi isu pada aku apabila pengangguran bertambah. Isu ini dekat pada aku kerana sebagai HR aku 'nampak' walaupun ramai jugak anak-anak muda ni berfikiran singkat dan tak mahu berubah.
Terpukul di benak aku, bagaimana keadaan anak-anak aku nanti? Susah kah atau senangkah mereka mencari rezeki?
Aku risau dengan cara pengawalan harga barang. Aku tak mengharapkan harga barang akan turun jika kerajaan bertukar tetapi sekadar maintain pun dah baik sebenarnya. Kita tahu banyak barang makanan di import. Ada sesetengah orang ni dok harap harga barang turun memanjang. Sapa yang tak nak harga turun? Tapi perlu lah bersikap lebih rasional.
HELO! Malaysia tak tanam gandum okay!. Tak kan kita nak expect harga tepung maintain atau akan turun dengan harga luar negara meningkat naik. Faktor utama kenaikan harga meliputi masalah ekonomi USA yang merudum, permintaan tinggi tetapi pengeluaran yang rendah akibat faktor cuaca, perubahan petani kepada tanaman yang lebih menguntungkan seperti jagung untuk bio-fuel dsbnya.
Dengan kekurangan majoriti BN, sekurang-kurangnya harga minyak tak naik walaupun semenjak Oktober 2007 lagi berita fasal subsidi minyak nak dikurangkan asyik dimainkan oleh MSM.
Aku juga ditanya fasal tol dan bila Selangor nak hapuskan tol. Pada aku laluan baru seperti KESAS dan juga PLUS sendiri tidak lah perlu di hapuskan kerana ianya laluan baru bukan jalan persekutuan yang di naik taraf. Kita mempunyai pilihan untuk menggunakan jalan persekutuan untuk kesesuatu destinasi. LDP mahupun laluan seperti Lebuhraya Persekutuan Shah Alam - Kelang, merupakan laluan yang dinaik taraf dan tidak sepatutnya laluan bertol. Aku rasa ada yang tak faham konsep ini. Sebagai contoh, Jepun merupakan net importer minyak dan dengan harga minyak yang tinggi, kerajaan Jepun telah mengadakan perbincangan untuk menurunkan harga tol bagi mengimbangi kenaikan harga minyak. Inilah sistem yang seharusnya di laksanakan.
Pada aku kalau Tol Sg Rasah dan tol Batu Tiga di tetapkan bayaran RM0.50 atau RM0.60 pun aku tak rasa PLUS akan rugi (untung kurang sikit aje kot) memandangkan kapasiti kenderaan yang melalui jalan ini. Aku rasa rakyat boleh terima jika masih bayar tol tapi dengan harga tersebut. Kalau tutup langsung, kena fikirkan jugak berapa ramai yang akan jadi penganggur, jadi kita harus faham.
Sesudah kerajaan Pakatan Rakyat memerintah 5+1 negeri, terdapat banyak perubahan yang boleh kita nampak sebenarnya.
Aku juga di tanya fasal isu babi. Aku tidak mahu lihat dari perspektif ugama tetapi lebih kepada perspektif alam sekitar. Sepang merupakan antara tempat ladang babi berselerakan tanpa kawalan dan bukan bermula setahun dua tapi sudah berdekad-dekad. Jika ada perubahan yang boleh memperbaiki alam sekitar, seharusnya di sokong sebagaimana aku sokong kerajaan Selangor menghentikan kebenaran untuk permohonan membuat bangunan di cerunan. Aku yang membesar di Selangor dan telah menetap di Shah Alam merasa hiba dengan pengurangan demi pengurangan kawasan hijau dan hutan. Jika dulu semasa di Lembah Jaya, dikelilingi oleh Hutan Simpan Ampang, keadaan amat nyaman hingga ada masanya minyak masak membeku di waktu pagi. Sekarang? lombong kena kambus, hutan kena tarah. Sedih.
Semenjak dari tempoh berkempen hingga sekarang Sinar Harian menjadi tatapan wajib aku cuma sebab selalu sangat habis cepat, kalau lewat memang takde. Berita yang lebih seimbang menjadi pilihan utama. Macam contohnya Sinar Harian hari ini gambar besar perhimpunan Black 14 tapi aku tak perasan gambar yang sama pada akhbar melayu yang lain. Seperti analisis yang di jalankan oleh Dr Abu Hassan Hasbullah, Jabatan Media UM, Sinar mendapat kepercayaan sebanyak 18.9% berbanding suratkhabar MSM yang lain sekadar 4% lebih kurang, Harakah mendapat 11% bagi berita seimbang. Sinar merupakan keluaran Karangkraf bukannya keluaran parti mana-mana.
Harapan aku Malaysia akan lebih makmur dan sekata dari segi pengagihan sumber kapada seluruh rakyat.

No comments:

Cerita Dolu Dolu