Hutang Talam: Selangor Lakukan Keputusan Komersil Baik
SHAH ALAM: Hasil siasatan audit bebas mendapati kerajaan Selangor membuat keputusan komersil yang baik dengan melakukan penyusunan semula hutang antara Talam Corporation dan kerajaan negeri.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, hasil semakan KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd (KPMG) iaitu sebuah firma audit bebas turut mendapati kerajaan negeri melaksanakan kutipan hutang bernilai RM392 juta daripada Talam dengan tertib serta mengikut undang-undang.
"Penyelesaian hutang ini dilaksanakan menerusi penyelesaian aset melibatkan sembilan plot tanah, dua hartanah, 60 peratus saham dalam anak syarikat Talam serta tunai. Perjanjian penyelesaian dengan Talam ini adalah semata-mata bertujuan mengutip hutang.
"Proses penyelesaian hutang ini masih berterusan dan berdasarkan maklumat yang ada, anggaran nilai kasar mencukupi untuk Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) sebagai pihak yang bertanggungjawab mengutip hutang bagi pihak kerajaan negeri dan anak-anak syarikat – mendapatkan semua hutang daripada Talam tanpa memberi sebarang pengecualian,” katanya pada sidang media di Bangunan SUK di sini, Rabu.
Hadir sama pada sidang media itu ialahPengarah Eksekutif Unit Advisory KPMG,Chan Siew Mei.
Menurut Abdul Khalid, laporan lengkap semakan KPMG sedia dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada sesi persidangan November depan.
Selain itu Abdul Khalid berkata, kerajaan Selangor sebelum ini mengadakan dua perjanjian penyelesaian dengan Talam yang bertujuan mengutip semula hutang sebanyak RM392 juta yang dihutang kepada kerajaan negeri dan anak-anak syarikatnya.
Dalam pada itu Abdul Khalid sekali lagi menegaskan kontroversi yang dibangkitkan Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong bahawa kerajaan negeri melakukan bailout hutang Talam bernilai RM1 bilion adalah tidak benar.
"Proses ini bukan bailout. Hasrat kerajaan negeri ialah mendapatkan semula hutan Talam.
"Pemulihan ini secara jelas bermaksud mengutip hutang daripada pemiutang yang menjadi hak pemberi hutang (kerajaan negeri). Urusniaga antara Talam dan kerajaan negeri adalah situasi pemulihan hutang. Kerajaan negeri mengambil alih aset Talam dan menjualnya bagi mendapatkan semula hutang yang menjadi milik kerajaan negeri," katanya.
No comments:
Post a Comment