SHAH ALAM – Kenyataan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Ismail Mohamed Said berhubung isu penarikan semula pembekuan kemudahan pinjaman terhadap penuntut Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) didakwa dibuat dengan emosi dan kurang bijak.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin mendakwa, kenyataan Ismail yang menyatakan pinjaman itu ditarik balik kerana tahu kononnya Kerajaan Negeri tidak mampu memberi bantuan kewangan, menunjukkan beliau membenarkan dirinya diperangkap pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN).

“Selepas menurut perintah, beliau pula terpaksa menarik semula keputusan tersebut dan membuat kenyataan mendakwa kononnya Kerajaan Selangor tidak mampu memberi pendidikan percuma kepada pelajar. Kerajaan Negeri kesal dengan kenyataan tersebut,” katanya.

Faekah berkata, selaku penjawat awam, mereka sepatutnya mempunyai integriti dalam memastikan kepentingan rakyat (pelajar) diutamakan dan tidak membenarkan pentadbiran di perbadanan itu ditadbir oleh ahli politik.

“Penjawat awam selaku golongan profesional perlu berani menyatakan pandangan termasuklah mengingatkan mereka yang tidak faham akan prinsip doktrin pengasingan kuasa di antara badan eksekutif dan legislatif,” katanya.

Dalam pada itu, Faekah turut menggesa menteri terlibat agar berhenti ‘memperkudakan’ pegawai kerajaan kerana tindakan itu hanya akan merendahkan martabat penjawat awam di mata masyarakat.

“Mereka harus berani mengambil tanggungjawab atas kesilapan yang telah dilakukan dan perlu meminta maaf kepada semua pelajar di Malaysia.

“Mereka sepatutnya menjadi negarawan yang berkhidmat untuk semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan ideologi politik. Hanya dengan itu barulah mereka akan mendapat penghormatan daripada rakyat,” katanya.