Ya. Saya tak jumpa berita ini dalam Utusan Meloya. Kalau saya termiss sila maklumkan linknya . TQ!
Iklan arak semakin meluas
2 Mei 2012
BAGAN SERAI – Komuniti India, di sini, menggesa agar satu inisiatif diwujudkan bagi memantau pengiklanan minuman keras yang dikhuatiri akan mempengaruhi generasi muda.
S Waytharao Muniandy, 38, berkata, langkah itu perlu bagi membendung gejala minuman keras terutamanya dalam kalangan belia.
Menurutnya, pengiklanan di media cetak hari ini dilihat seolah-olah menggalakkan lebih ramai masyarakat terjebak dengan gejala minuman keras.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memantau setiap akhbar yang menyiarkan iklan yang boleh membawa kepada gejala negatif, paling kurang pun meletakkan tanda bagi had umur pembaca di ruangan iklan berkenaan.
“Ada beberapa akhbar tempatan yang menyiarkan secara terbuka iklan seumpama ini, sebagai pembaca, kita harap perkara ini dipandang serius oleh pihak berkenaan,” katanya.
Sinar Harian difahamkan, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Serai atas kelalaian pihak terbabit yang sewenangnya menggunakan akhbar umum untuk pengiklanan minuman keras.
Penduduk, Dorai Singa, 34, berkata, laporan polis itu dibuat selaras dengan kehendak mereka yang tidak mahu belia masa kini terus dibelenggu dengan sifat pemabuk yang boleh menjadi penyebab kepada perlakuan jenayah.
“Sebagai anak muda, saya tidak mahu generasi akan datang disogok dengan iklan seumpama ini kerana banyak kemusnahan masyarakat India kini disebabkan arak dan samsu haram yang kini banyak dijual secara berleluasa di kedai runcit tanpa lesen sah,” katanya.
Seorang lagi Penduduk, N Dahanakaesan, 32, berkata, pemimpin tertinggi dari kalangan masyarakat India diperlukan agar masalah itu tidak berleluasa.
“Banyak keruntuhan akhlak berlaku disebabkan kebebasan seumpama ini, ia juga menyebabkan perpecahan institusi kekeluargaan dalam negara kita.
“Justeru kami sebulat suara menyatakan hasrat serta kebencian terhadap unsur pengiklanan seumpama ini, pengusaha akhbar tempatan diharap dapat mengurangkan iklan yang boleh memudharatkan masyarakat,” katanya.
Dalam nada sama, K Ragendran, 40, mahu langkah proaktif diambil jabatan berkenaan berkaitan penjualan secara terbuka di kedai runcit di seluruh Malaysia tanpa leseng sah.
Bagi Dewa Poi, 32, selama lebih 54 tahun kemerdekaan, kilang arak dan samsu haram itu sedikit pun tidak dilihat akan berkurangan malah terus dibina serta dijual kepada khalayak umum.
“Kami sebagai generasi baru sudah bersedia membebaskan diri daripada belenggu arak yang akhirnya merosakkan diri keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment