Followers

Klik Sekali

All Year Round Sales - Jualan Murah

Anda Mencari Sesuatu?

KLIK AJER DI SINI

Related Posts with Thumbnails

Thursday, April 21, 2011

RAJA NAZRIN PERLI BIK MAMA KE?

Sikap Tidak Hormati Adab Berpakaian Pencerobohan Cara Halus, Titah Raja Dr Nazrin
IPOH: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah pada Khamis bertitah penghakisan adat dan budaya bangsa boleh bermula dengan sikap memandang ringan dan tidak menghormati adab berpakaian dalam sesuatu majlis.
Menyifatkan tindakan itu sebagai pencerobohan secara halus, baginda bertitah keadaan sedemikian tidak sesekali harus dibenarkan berlaku khususnya dalam usaha negara bangsa membentuk ketamadunan yang lebih tinggi.
"Cara berpakaian yang sejajar dengan sesuatu acara adalah sebahagian dari disiplin yang memperlihatkan ketinggian akal budi seseorang insan. Malah seseorang yang bertaraf raja sendiri wajib memperlihatkan disiplin berpakaian sejajar dengan sesuatu acara yang dihadiri.
"Raja, meski berada di puncak takhta kerajaan, tidak dikecualikan untuk berpakaian selaras dengan darjat sesuatu acara sebagai menghormati acara dan menghormati para tetamu yang hadir," titah baginda ketika merasmikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) kali ke-175 di sini.
Titah baginda, manusia menggunakan kebijaksanaan akal untuk berpakaian mengikut kesesuaian acara sebagai tanda hormat seperti mengelak pakaian berwarna terang ketika menziarahi orang yang meninggal dunia dan pemilihan warna ceria bagi majlis perkahwinan.
"Begitulah bestarinya manusia yang bijak dan matang menggunakan akal bicara yang mencerminkan tahap ketamadunan menjadikan mereka manusia beradab. Tamadun manusia juga mereka cipta rukun-rukun berpakaian yang memberikan identiti profesion, identiti aktiviti dan identiti upacara," titah baginda.
Raja Dr Nazrin Shah memberi contoh badan beruniform yang dikenali identitinya menerusi pakaian seragam selain atlet yang berpakaian mengikutkesesuaian acara yang disertai.
"Adalah janggal bagi seorang polis trafik yang bertugas menjaga lalu-lintas di jalan raya untuk memakai pakaian tidur, adalah janggal untuk seorang pemain bola sepak memakai pakaian renang di padang bola, adalah janggal untuk doktor yang bertugas di bilik bedah untuk memakai ihram, dan adalah janggal untuk seorang raja ketika bersemayam di atas takhta di balai rong seri hanya bersinglet dan bercelana pendek," titah baginda.
Raja Dr Nazrin juga merujuk kepada agama selaku kompas kehidupan yang menggariskan pelbagai perkara untuk dijadikan panduan termasuk soal berpakaian bagi menjamin hubungan harmoni sesama manusia serta antara manusia dan tuhan.
Islam misalnya, titah baginda menggariskan adab berpakaian ketika beribadat seperti mengerjakan haji dan umrah yang harus dipatuhi semua tanpa mengira sama ada raja, presiden, hartawan mahupun fakir miskin.
Perkara serupa juga dianjurkan agama lain seperti lelaki tidak dibenarkan memakai topi ketika berada dalam gereja, atau lelaki Sikh yang dikehendaki memakai serban ketika memasuki gudwara, titah baginda.
Terdahulu dalam majlis berasingan, baginda berkenan menyampaikan watikah pelantikan anggota MAIAMP kepada Ketua Hakim Syarie negeri Perak Datuk Muhamad Asri Abdullah dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Mohd Yusop Husin.
Raja Dr Nazrin yang merupakan Yang Dipertua MAIAMP turut menerima pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM9.65 juta daripada lima syarikat iaitu Tenaga Nasional Berhad (RM4.44 juta), Lembaga Tabung Haji Perak (RM2.61 juta), Bank Kerjasama Rakyat (M) Berhad (RM2.07 juta), GPB Corporation Sdn Bhd (RM300,000) dan Produktif Kualiti Medical Supply Sdn Bhd (RM200,000).
Baginda kemudiannya berkenan menyerahkan zakat itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAIAMP Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan. - BERNAMA

No comments:

Cerita Dolu Dolu