2 Adun PKR syukur bersih tuduhan kali ke-2

SPRM
SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafiei melahirkan rasa syukur kerana penantian selama dua tahun untuk bebas daripada tuduhan rasuah berkaitan aktiviti perlombongan pasir di Selangor ditutup secara rasmi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain beliau, Adun Batu Caves, Amiruddin Saari juga menyambut baik keputusan yang diumumkan oleh SPRM semalam.

"Saya masih tak dapat pemberitahuan rasmi, namun bersyukur jika itu keputusannya, sekali gus dapat membersihkan nama dan integriti saya, saya juga ucap terima kasih atas doa dan sokongan keluarga dan rakan-rakan. Alhamdulillah," kata beliau dalam satu kenyataan SMS lewat malam tadi.

Mengulas lanjut, Shuhaimi berkata, walaupun agak lambat kesnya ditutup, namun "saya gembira dan bersyukur nama saya telah bersih daripada tuduhan tersebut."

"Kebenaran telah terbukti dan saya memang sebenarnya tidak pernah terlibat dengan kes penyelewengan pasir itu," kata Shuhaimi lagi kepada Sinar Harian.

Shuhaimi juga berkata, beliau akan tetap mengambil tindakan ke atas orang yang memfitnah dirinya sebelum ini yang melalui laman sosial Twitter, portal dan blog.

"Saya akan berbincang dengan peguam yang terbaik untuk mengambil tindakan ke atas penyebar maklumat palsu ini.

"Tak kira sama ada mereka berada di mana sekalipun termasuklah yang berada di luar negara," katanya lagi.

"Saya akan ambil tindakan juga ke atas penulis berita yang sengaja ingin mencemarkan nama saya melalui tulisan yang berbaur fitnah.

"Tapi kalau hanya untuk penulisan berita itu tidak ada masalah bagi saya," katanya.

Semalam, Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil berkata, selain kes Datuk Shahrizat Abdul Jalil pihaknya turut menutup kes siasatan penyelewengan pasir di Selangor yang membabitkan kedua-dua pemimpin Pakatan Rakyat itu.

Adenan berkata, keputusan dicapai setelah kertas siasatan kali kedua mengenai kes tersebut tidak mempunyai bukti yang kukuh.