Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor meningkatkan usaha menangani masalah kewujudan ladang ternak di kawasan-kawasan bandar khususnya berhampiran taman perumahan.

Beliau berkata, ladang ternakan tidak boleh ditempatkan di kawasan majlis perbandaran yang sudah dibangunkan dengan pangsapuri atau kediaman komersial untuk mengelak perselisihan antara pemilik hartanah serta penternak.
 
“Usaha yang dilakukan oleh JPV mengalih penempatan penternakan ke satu tempat teratur dan tertib melibatkan tanah seluas 100 ekar di Hulu Selangor yang telah kita buka sebelum ini wajar dipuji.
 
“Saya tahu banyak masalah melibatkan penternak tidak mahu pindah, manakala penduduk kawasan berhampiran penternakan merasakan ketenteraman mereka diganggu,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.
 
Hadir sama, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Selangor, Yaakob Sapari dan Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor, Dr Abdul Latif Borhan.
 
Abdul Khalid turut meminta JPV memantau kawasan di Bukit Tinggi, Klang yang dikatakan banyak lembu berkeliaran, sambil berseloroh "kita takut lembu melawat pasar raya kelak."

“Saya difahamkan, kes lembu berkeliaran di Petaling Jaya dalam proses untuk diselesaikan, tetapi di Bukit Tinggi masih lagi terdapat lembu berkeliaran. Sebab itulah saya harap usaha ini (tangani masalah pertembungan penempatan) dapat diteruskan JPV,” katanya.

Sementara itu, Abdul Latif berkata, JPV merancang untuk membangunkan lebih banyak tapak translokasi sekiranya mempunyai tanah dan peruntukan.

“Dengan menggunakan tanah ladang sedia ada dan bajet terhad, JPV telah membangunkan sembilan tapak projek ternakan yang baru di Hulu Selangor bagi program translokasi penternak.

“Kini, JPV memberi fokus ke arah memperbaiki operasi penternakan yang dijalankan sebilangan masyarakat di kawasan kampung atau belakang rumah secara kecil-kecilan untuk mengurangkan masalah pencemaran dan gangguan,” katanya.

Pada majlis itu, Abdul Khalid turut mengingatkan semua jabatan tentang kepentingan kredibiliti dalam pentadbiran dan organisasi untuk meraih kepercayaan masyarakat.