KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor disifatkan zalim apabila bertindak rampas tanah pertanian yang diusahakan petani dan penternak di Taman Pertanian Bistari Jaya kerana menyebabkan mereka rugi ribuan ringgit dan hilang sumber rezeki.

Malah, slogan ‘Negeri Berkebajikan’ yang dilaungkan kerajaan Pakatan Rakyat itu turut dipertikaikan kerana tindakan mereka itu langsung tidak memikirkan nasib petani dan penternak di kawasan itu.

Kesal dengan tindakan tergesa-gesa Kerajaan Negeri itu, mereka bertindak berhimpun secara aman di taman tersebut sambil membawa poster dan kain rentang yang mendesak keputusan merampas tanah pertanian itu ditarik semula.

Penternak ikan air tawar, Mohd Fadzil Ibrahim berkata, mereka terima notis dari anak syarikat Kerajaan Negeri, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad agar kosongkan tanah dalam tempoh 14 hari.

“Seramai 25 petani dan penternak yang usahakan tanah pertanian di sini terima notis kosongkan tanah yang akan berakhir pada 27 Mac ini. Mereka langsung tidak memberi peluang untuk kami membuat rayuan,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata, mereka telah lama usahakan tanah pertanian di situ dan keluarkan belanja yang besar termasuk dapatkan pinjaman institusi kewangan untuk mengkomersialkan pertanian dan penternakan mereka.

“Tiba-tiba dapat notis kosongkan kawasan, siapa yang tidak kecewa. Terasa sedih jugalah sejak sekian lama tanah ini menjadi sumber pendapatan tiba-tiba diminta untuk mengosongkannya tanpa mendapat sebarang bayaran pampasan,” katanya.

Mohd Fadzil berkata, beliau mendapat tawaran Kerajaan Negeri sebelum ini untuk usahakan tanah pertanian itu pada tahun 2000 dan usahakannya sehingga kini.

“Ketika itu saya sanggup berhenti kerja sebagai pelukis pelan untuk usahakan ternakan ikan air tawar secara komersial kerana saya lihat prospek besar dalam bidang ini. Sebanyak RM3 juta dilaburkan,” katanya.

Katanya, kumpulan petani dan peenternak juga telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Pertanian dan Industari Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, dalam usaha sahkan status tanah tanam kekal pengeluaran makanan pada 2007.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang, Sulaiman Abdul Razak mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berbincang dengan penternak dan petani yang terlibat bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.